Fikir yang baik-baik. Cakap
yang molek jah. Bincang dengan cara baik-baik. Dengar hok menyenangkan hati. Insya
Allah yang baik-baik dan disukai sahaja yang datang. Kalau ada perkara tidak
baik datang, anggaplah satu ujian yang menilai siapkah kita sebenarnya. Orang
akan menunjukkan sikap sebenar apabila diuji dengan perkara tidak disenangi. Sebab
itu kena banyak bersabar. Jangan mudah marah dan mempersoalkan tindakan orang
lain atau keadaan. Paling penting, jangan jadi batu api. Sana sini mengadu
domba orang lain agar bergaduh. Bergaduh sesama sendiri tidak memberi kebaikan.
Kita sepatutnya menambah kawan, bukan mencipta lawan. Pergaduhan akan membawa
kesan menang jadi arang, kalah jadi abu. Dua-dua pihak mendapat kerugian.
Sepatutnya kita kena fikir bagaimana untuk kedua-dua pihak mendapat untung.
Tidak kisahlah siapa mendapat untung lebih dan pihak mana mendapat untung
kurang. Yang penting sama-sama mendapat untung. Kita hidup kena membuat jasa, buka
melakukan onar menyusahkan orang lain dan diri sendiri. Sentiasalah berfikiran
positif dan memperkasakan jatidiri. Selalu melakukan muhasabah diri kerana kita
bukan manusia sempurna. Kita sering terdedah kepada melakukan kesalahan dan
kesilapan sama ada disedari mahupun tidak. Ada yang kecil, tidak kurang juga
yang besar. Ingatlah, semua kita sama di sisi Allah, kecuali takwa. Orang kaya
mati, orang miskin pun mati. Kita akan mengadap Allah di akhirat dengan membawa
bekalan apa yang dilakukan di dunia ini. Banyak bekalan baik dibawa, syurgalah
balasannya. Sebab itu, banyaklah berbuat perkara baik. Jangan sekali-kali buat
perkara buruk yang menambah dosa. Jika sedar telah melakukan perkara dosa,
cepat-cepatlah bertaubat. Kalau tidak sedar telah buat dosa, tidak salah pun
jika kita bertaubat. Nabi Muhammad yang tidak melakukan dosa pun selalu
bertaubat. Maka, kita yang penuh dengan dosa ni perlulah sentiasa bertaubat.
Jangan jadi orang sombong konon dirinya mulia dan bebas dosa. Sikap sombong
akan menjadikan diri macam iblis yang berasa diri mulia dan lebih layak
berbanding makhluk lain. Berhati-hati.
No comments:
Post a Comment