Friday 17 September 2021

HIKING BUKIT GUA KAMBING KOK LANAS

 
Satu lokasi kembara berjalan kaki (hiking) yang patut dijadikan pilihan ialah Bukit Gua Kambing. Kedudukan Bukit Gua Kambing ialah sebelah kiri Jalan Kota Bharu – Machang, bersetentang dengan kawasan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Desa Pahlawan.

Tidak pasti kedudukannya sama ada Kota Bharu, Machang atau Pasir Putih kerana ia berada kawasan sempadan ketiga-tiga jajahan tersebut. Perkara ini boleh disahkan oleh Pejabat Tanah Jajahan atau Jabatan Ukur dan Pemetaan.

Bukit Gua Kambing juga lebih dikenali Bukit Merbau kerana ia berada berhampiran Bukit Merbau, Kampung Bukit Merbau.

Mereka yang ingin melakukan kembara berjalan kaki ke Bukit Gua Kambing boleh melalui beberapa tempat mula. Namun, dua lokasi yang popular ialah melalui Kuari Bukit Buluh dan Taman Guru.

Bagi laluan Kuari Bukit Buluh, perlu menyusuri anak Sungai Lubuk Lesung. Dari tebing kiri terus menuju permatang dan bermulalah pendakian. Trek ini pengunjung berpeluang melalui kawasan Air Terjun Lubuk Lesung. Dalam keadaan biasa ia akan memakan masa selama 3 jam.

Laluan Taman Guru pula pengunjung boleh memasuki melalui Jalan Pinggiran Taman Guru. Apabila sampai di cabang tiga, belok kanan. Teruskan perjalanan sehingga ada cabang tiga, ikut kanan dan akan menemui ladang kelapa sawit. Kenderaan boleh diletak di kawasan kelapa sawit ini.

Kembara berjalan kaki bermula di sini. Melalui kawasan kebun getah, kolam ikan dan kawasan lapang sebelum memasuki kawasan mendaki.

Selepas mendaki kira-kira 200 meter, terdapat satu alur atau anak sungai. Di sini pendaki perlu memilih sama ada ingin melintas ‘terus’ atau ‘belok kanan’.

Jika melintas terus, laluan ke puncak agak landai. Laluan ini dicadangkan kepada mereka yang ingin menikmati pendakian lebih santai. Kembara berjalan kaki mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai ke puncak.

Manakala jika belok kanan, laluan agak mencabar. Keadaan trek agak curam, perlu banyak melangkah akar melintang trek dan sedikit halangan batu besar. Laluan ini mengambil masa kira-kira satu jam setengah, kerana jarak lebih dekat.

Kedua-dua laluan akan bercantum semula sebelum sampai ke puncak.

Puncak Bukit Gua Kambing ialah 1400 kaki atau kira-kira 426 meter. Namun, kawasan tumpuan, iaitu kedudukan ‘gua’ terletak beberapa meter bawah dari puncak.

Gua tersebut sebenarnya batu besar yang ‘keluar’ dari tebing puncak yang membentuk ‘bumbung’ bagi kawasan di bawah.

Di kawasan bawah batu inilah yang menjadi tumpuan pendaki setelah sampai untuk beristirah sebelum memulakan perjalan turun.

Nama Bukit Gua Kambing dikatakan diambil berdasarkan pada masa dahulu, kawasan gua itu menjadi tempat tinggal kambing gurun atau kambing bukit.

Bukit Gua Kambing termasuk dalam kawasan Hutan Simpan Kekal Chabang Tongkat.

1 comment: