Wan Musa bin Abdul Samad merupakan anak
kepada Abdul Samad bin Muhammad Beliau
dilahirkan di Lorong Tok Semain, Kota Bharu pada tahun 1875. Musa telah menuntut ilmu pada usia muda di
Kota Mekah, berguru dengan Syeikh Hasbullah, Syeikh Wan Ahmad Muhammad Zain
al-Fatani, Syeikh Muhammad dan Ahmad al-Dandraw dan juga para ilmuan lain.
Beliau banyak mengkaji kitab dan sering
mengikuti perkembangan siasah dunia dengan membaca akhbar dan majalah dalam dan
luar negeri seperti al-Imam (1906), al-Ikhwan (1926), Saudara (1928), al-Manar
dan al-Urwat al-Wuthqa. Beliau juga pernah berutus surat dengan Maulana
Ubaidullah al-Sindhi (guru anaknya di Mekah) dan Syeikh Muhammad Rashid Ridza
(Mesir).
Pada tahun 1909, Sultan Muhammad IV telah bersetuju melantik Musa menjadi Mufti Kerajaan tetapi watikah perlantikan hanya diserahkan selepas tempoh enam bulan iaitu berkemungkinan selepas pengesahan jawatan.
Sumbangan awal yang telah diberikan oleh
beliau adalah mengeluarkan fatwa tentang masalah lafaz asli, muqarramah takbiratul
ihram serta kaifiatnya.
Mengikut karangan Tengku Mahmud Zuhdi
Tengku Abdul Rahman al-Fatani, fatwa radikal itu telah dikeluarkan pada tahun 1909
dan ia mendapat bantahan daripada pemimpin-pemimpin tua.
Walau bagaimanapun, pendiriannya amat tegas
dan pandangan pembaharuannya banyak bertelagah dengan fahaman tokoh tua dan
alim ulama yang menguasai Majlis Agama Islam Kelantan sendiri.
Antara bangkangan adalah membantah
pembinaan Masjid Besar Kota Bharu dengan harta zakat fitrah, persoalan
muqarranah sembahyang, kenduri arwah, talqin dan lain-lain lagi.
Manakala bantahan dengan Tok Kemuning dan
Haji Islam Haji Senik pula adalah mengenai kain telekong sembahyang dan dengan
Syeikh Muhammad al-Azhari pula mengenai pemindahan jualan harta wakaf.
Bantahan juga diterima daripada Sultan
Muhammad IV mengenai harta pusaka. Pada tahun 1930-an pula dengan Mufti Haji
Ibrahim serta penyokongnya mengenai talfiq mazhad khusus jilatan anjing.
Walau bagaimanapun, beliau tetap dan masih berpegang teguh kepada pendiriannya dan atas dasar keyakinan itulah beliau meletak jawatan pada akhir bulan Jun tahun 1916 untuk mengelak berlaku tentangan berterusan dengan golongan tua.
Beliau meninggal dunia pada 24 Zulkaedah 1357H/14 Januari 1939 secara mengejut pada jam 3.00 petang, ketika berusia 65 tahun. Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan.
No comments:
Post a Comment