Sunday 6 October 2024

ANGGUR SESUAI DITANAM DI MALAYSIA

 
Penanaman anggur banyak di negara beriklim subtropika atau sederhana sejuk. Anggur menjadi tanaman utama di negara-negara berkenaan sebagai sumber makanan dan diproses untuk pelbagai kegunaan.
 
Namun, kini telah ada varieti yang sesuai diadaptasikan dengan iklim tropika. Sudah banyak usaha berjaya membuktikan bahawa tanaman anggur boleh hidup dan berbuah lebat di negara beriklim tropika seperti Malaysia.
 
Kejayaan itu sekali gus menepis tanggapan negatif masyarakat terhadap tumbuhan itu yang kononnya tidak akan menghasilkan buah jika ditnaman di Malaysia.  Bahkan ada yang mengatakan anggur tidak hidup di tempat beriklim tropika seperti Malaysia.
 
Penanaman anggur yang dilakukan individu di Malaysia bukan sahaja subur dan berbuah lebat, bahkan kualtitinya setanding seperti yang dihasilkan di negara beriklim sederhana sejuk. Buahnya berukuran besar dan rasanya manis.
 
Bilangan buah setiap tangkai juga banyak sehingga mencapai berat sekitar 500 hingga 700 gram.
 
Terdapat kira-kira 50 varieti anggur yang senang berbuah dan tahan lasak sesuai ditanam di Malaysia. Antara varieti itu ialah dubovsky pink, julian, baikonur, beauty karasotkha dan gozv yang masing-masing berasal dari Ukraine dan Amerika Syarikat.
 
Pokok anggur boleh berbuah sepanjang tahun atau empat kali setahun bergantung kepada kaedah penanaman dan kebijaksanaan pekebun itu sendiri.
 
Antara cara diamalkan untuk menggalakkan anggur berbuah ialah setiap kali buah anggur dipetik, pokok perlu dipotong dahan supaya dahan baharu akan tumbuh pucuk bersama bunga baharu dan dalam tempoh tiga bulan, hasilnya boleh dipetik.
 
Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah jika mahukan buah yang manis, jangan dedahkan pokok anggur kepada hujan dan perlu ditempatkan di kawasan teduh tetapi ada cahaya matahari.

No comments:

Post a Comment