Friday 11 August 2023

PESONA DI PUNCAK BUKIT KUTU

 
Bukit Kutu terletak di Kuala Kubu Bharu, berhampiran Kampung Pertak iaitu sebuah perkampungan Orang Asli kira-kira 31 kilometer dari Kuala Lumpur dengan anggaran masa 33 minit pemanduan.
 
Bukit Kutu mempunyai ketinggian pada paras 1,053 meter dari aras laut. Pada masa sama ia boleh dianggap setaraf gunung berdasarkan ketinggiannya.
 
Bukit Kutu mula dikenali sebagai destinasi istirahat dan dibangunkan sejak lebih 100 tahun lalu. Ia bermula pada era pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu yang mana ketika itu pembukaan pusat peranginan atau pertanian di kawasan tanah tinggi mula dilakukan.
 
Penerokaan dan pembukaan tanah tinggi dikaitkan dengan hasrat pegawai Inggeris yang ingin menikmati susana cuaca sejuk seperti di tempat asal mereka.
 
Bukit Kutu menjadi salah satu lokasi peneroka tersebut. Bukit Kutu yang berketinggian 1053 dari aras laut itu dahulunya dikenali Treacher's Hill.
 
Nama Treacher’s Hill adalah sempena Sir William Hood Treacher yang menemui tempat ini pada tahun 1893 dan menurut sejarah, Sir WH Treacher, telah berkhidmat sebagai Residen British di Selangor dari 1892 hingga 1896.
 
Di puncak Bukit Kutu terdapat dataran yang menjadi 'kompleks' penempatan dan pentadbiran. Ketika zaman kolonial British, puncak Bukit Kutu adalah stesen pemantauan tentera British. Namun ia terbengkalai setelah dibom oleh tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua.
 
Keseluruhan binaannya telah rosak dan runtuh serta ditumbuhi semak-samun dan pohon rimba. Kini, yang masih kekal hanyalah bahagian tiang, lantai, rangka bangunan dan tangga serta cerobong asap dan dua buah perigi lama yang salah satunya masih boleh digunakan dan masih terdapat sumber air di dalamnya.
 
Bukit Kutu kini menjadi lokasi pendakian yang semakin terkenal. Selain mencabar kekuatan fizikal dan minda, pendaki juga dapat melihat tinggalan sejarah itu.
 
Bukit Kutu wajar diperkenalkan sebagai pendakian bukit bersejarah, selain kaya dengan flora dan fauna. Paling menyeronokkan apabila berpeluang mandi-manda di Air Terjun Lata Medang.
 
Selepas kembara berjalan kaki (hiking) selama dua jam setengah, pengunjung akan sampai di Batu Tedung. Mengikut cerita, gelaran Batu Tedung diberikan kerana rupa bentuknya seperti kepala ular tedung dan agak menyeramkan.
 
Berada di puncak Bukit Kutu memang amat mengujakan. Pengunjung dapat melihat dengan jelas keindahan panorama alam semula jadi yang bertemankan kepelbagaian flora dan fauna.
 
Kehadiran awan karpet yang beralun, tiupan angin bayu sejuk dan sang suria mula menampakkan dirinya sedikit demi sedikit.


No comments:

Post a Comment