Janji Allah wajib kita percaya bahawa umat Islam
tetap akan meneruskan tugas sebagai khalifah Allah. Mereka akan menjadikan
dunia ini lebih baik, aman. Demikian janji Tuhan kemenangan akan sentiasa
berada pada pihak Islam, asalkan kita tidak terperangkap dengan fahaman sempit
kepuakan dan kelompok.
Kemenangan umat Islam akan berlangsung apabila
pengaruh golongan munafik dan hipokrit berkurangan. Krisis dan ujian akan
menyerlahkan wajah sebenar mereka yang berkepentingan diri sendiri. Wajah-wajah
jelik akan terserlah tanpa disedari oleh diri mereka sendiri.
Islam bagaikan api dalam sekam. Ia akan muncul
apabila keadaan kelam-kabut. Islam akan muncul secara lebih jitu dan kuat. Ia
akan membuahkan tenaga yang terpendam.
Lihatlah pada sejarah umat Islam yang panjang dan
tidak pernah berbohong. Abu Bakar yang dianggap lembut dan lemah muncul seperti
singa yang garang membanteras kumpulan murtad. Malah sanggup memerangi mereka
yang tidak mahu membayar zakat, walaupun dalam bentuk yang minimum, iaitu tali
hidung unta.
Peperangan Salib dan serangan tentera tartar yang
lama tidak juga menghancurkan umat Islam. Ini menunjukkan umat Islam mungkin
terleka malah terlena, atau sakit. Namun mereka tidak pernah mati. Mereka akan
bangkit selagi akidah ada dalam diri mereka.
Apa yang perlu, keimanan dan akidah seharusnya
tertanam dalam jiwa anak-anak Muslim. Apabila negara umat Islam terjajah begitu
lama, namun akhirnya mereka bangkit memerdekakan negara mereka. Muncul pula
para pejuang menentang penjajahan dari Aljeria hingga Moroko, Libya dan
Palestin malah umat Islam di Asia Tenggara.
Justeru itu, paling ditakuti usaha musuh untuk
mencabut akidah umat Islam, merosakkan umat akhlak dan mengetepikan perjalanan
syariat Islam. Pentingnya, bagi umat Islam berada pada sikap kesederhanaan
tidak menjadi golongan pelampau yang membawa wajah buruk kepada Islam. Tidak
juga menjadi liberal yang sampai menghapus wajah Islam yang manis.
Buangkan khurafat sampai memuja kubur atau memuja
pemimpin yang masih hidup sehingga tidak lagi bersedia mempertahankan
kebenaran. Buangkan penyelewengan agama sehingga kekal dalam adat negatif
tinggalan zaman jumud, sehingga tidak lagi mampu berkreativiti dan membawa
pembaharuan bagi menegakkan sebuah tamadun baru.
Pada kesempataan kemelut umat Islam dunia Islam
masa kini, para penguasa jangan sama sekali menzalimi rakyat dengan
diskriminasi. Mereka yang kaya tidak harus merebut kekayaan bagi diri sendiri
tanpa ingat akan hak golongan miskin dan papa. Para buruh harus dipertahankan
hak-hak mereka dan tidak diabaikan.
Perluaskan syura secara menyeluruh. Tidak perlu
meniru sesetengah pemimpin Arab yang tidak mahu mati kecuali atas kerusi
presiden atau takhta. Umat Islam dijamin oleh nabi tidak akan bersatu atas
kesesatan. Akan tetap ada golongan pembaharuan yang membawa islah dan tajdid
pada setiap masa. Keadaan negara kita pada hari ini, jauh lebih baik berbanding
dengan lima puluh tahun lampau.
No comments:
Post a Comment