Bukan krisis kecil berlaku sebaik sahaja Rasulullah
SAW wafat, akhirnya ia dapat ditangani secara yang bijaksana oleh para khalifah
umat Islam. Malah lebih besar krisis selepas pembunuhan Sayidina Uthman Bin
Affan, tetapi dapat juga diselesaikan.
Apa lagi keadaan yang tidak berlaku kepada umat
Islam? Daripada kejatuhan khilafah di Baghdad
pada masa lampau, hingga kejatuhan Uthmaniah Turki dan kehancuran Baghdad sekali lagi pada
zaman moden ini.
Islam akan tetap berkembang. Hatta di Asia Tengah
ketika umat Islam ditindas dengan kejamnya, namun pergerakan umat Islam
berjalan, walaupun dalam keadaan lembap. Hanya menunggu saat kelahiran pemimpin
yang berwibawa, umat Islam akan bangkit semula selepas persiapan yang baik
berlaku.
Orang Islam tidak harus bersikap pesimis. Banyak
gambaran dalam al-Quran yang membicarakan tentang khabar gembira masa depan dan
kemenangan yang dijanjikan kepada umat Islam.
Hanya umat Islam harus sentiasa berfikir dan
bertindak secara strategik menghadapi apa-apa keadaan pun. Kadangkala keadaan
yang sentiasa tenang dan relaks itulah yang melalaikan banyak pihak.
Kemelut dan krisis membuatkan orang semakin
waspada. Justeru itu umat Islam tidak harus takut menghadapi apa-apa keadaan
sekalipun, asalkan sahaja mereka tahu mengambil kesempatan strategik atas apa
keadaan yang berlaku.
Janji Allah wajib kita percaya bahawa umat Islam
tetap akan meneruskan tugas sebagai khalifah Allah. Mereka akan menjadikan
dunia ini lebih baik, aman. Demikian janji Tuhan kemenangan akan sentiasa
berada pada pihak Islam, asalkan kita tidak terperangkap dengan fahaman sempit
kepuakan dan kelompok.
Banyak juga ayat al-Quran yang menggambarkan
ketika menerima ujian, ketika itulah umat Islam lebih dekat dengan kemenangan
sebenar.
Mana-mana pihak yang gagal mempertahankan Islam
akan ditukar dengan pihak yang lebih berpotensi untuk menjaga risalah Allah SWT
itu. Malah Rasulullah SAW menjanjikan Islam akan terus berkembang seantero
dunia.
Keadaan inilah menyebabkan orang Barat semakin
menunjukkan kebencian kepada orang Islam, kerana Islam makin bertapak di
Amerika mahu- pun di Eropah termasuk Belanda.
Hadis Nabi juga ada menjanjikan kemunculan
kemakmuran di negara-negara umat Islam sehingga sampai ketikanya tidak ada lagi
mereka yang akan menerima sedekah (zakat). Ini menunjukkan berkat keadilan
Islam.
Namun semua itu tidak akan datang bergolek. Umat
Islam lebih dahulu harus bersatu padu, membariskan kepimpinan yang mapan dan
munculnya pembaharuan demi pembaharuan untuk lebih kukuh dan utuh.
No comments:
Post a Comment