Islam
mementingkan perpaduan dan kerjasama erat bagi menjamin kekuatan ummah. Ummah yang kuat akan digerumi oleh
musuh-musuh Islam. Sebaliknya, keadaan
ummah yang kucar kacir memberi peluang musuh untuk mengambil kesempatan memusnahkannya dengan
pelbagai cara.
Nasib
menimpa umat Islam di seluruh dunia sekarang banyak berpunca akibat
perpecahan. Kuasa umat Islam di beberapa
negara menjadi tidak kuat disebabkan apa pihak yang menentang dan membuat
onar. Keadaan tersebut membuka peluang
pihak asing campur tangan. Akibatnya,
kuasa umat Islam berada di tangan musuh.
Sesungguhnya,
umat Islam perlu membina kekuatan sendiri.
Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum jika kaum itu sendiri tidak
mahu berusaha mengubahnya. Firman Allah
bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum,
melainkan kaum itu sendiri berusaha mengubahnya.” - (Surah ar-Rad, ayat 11)
Perpecahan
dalam umat Islam banyak didorong oleh perebutan kuasa. Ia bukan perkara baru, sebaliknya telah
berlaku sejak kewafatan Rasulullah.
Terdapat kumpulan menentang pemimpin disebabkan sifat tamak dan gila
kuasa. Peperangan dan pembunuhan sesama
Islam merupakan satu malapetaka paling malang
terpaksa ditempuh oleh umat Islam.
Sesiapa
sengaja menentang pemimpin adil dan amanah terhadap tugasnya, bererti dia
menetang Allah dan Rasulullah. Islam
mementingkan ketaatan kepada pemimpin kerana ia asas kepada kejayaan membentuk
masyarakat harmoni, adil dan maju.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang taat kepadaku, bererti dia taat kepada
Allah, sesiapa yang durhaka kepadaku bermakna dia durhaka kepada Allah, sesiapa
taat kepada pemerintah bererti dia taat kepadaku, dan sesiapa yang durhaka kepada
pemerintah bermakna dia durhaka kepadaku.” - (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu
Daud, Nasai dan Ibnu Majah).
Menjadi tanggungjawab setiap orang beriman agar
mewujudkan keadaan persaudaraan tanpa sebarang perasaan curiga. Sekiranya ada pertelingkahan berlaku, ia
perlu didamaikan segera sebelum menjadi lebih renggang.
Sesungguhnya hubungan baik dianjurkan Islam tidak
setakat sesama Islam semata-mata.
Menjalin hubungan baik dan saling menghormati juga menjadi hak bagi
orang bukan Islam daripada orang Islam.
Justeru itu, haram bagi orang Islam memerangi
orang bukan Islam. Orang bukan Islam
mempunyai hak yang sama untuk menikmatik kehidupan aman bersama-sama orang
Islam dalam sebuah negara Islam. Ia
merupakan sebahagian daripada kaedah dakwah agar lebih ramai tertarik kepada
Islam.
Firman Allah dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang
bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil
kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu.
Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”
Secara jelasnya membuktikan Islam agama
perdamainan. Sebarang perbuatan yang
boleh mencetuskan sengkata tidak kira di antara sesama Islam dan bukan Islam,
wajib ditentang. Islam tidak mengajar
umatnya melakukan tindakan melampau memperjuangan agama kerana ia mudah
mencetuskan perbalahan.
Islam mengajar toleransi dan lemah lembut dalam
menghadapi kancah hidup. Kekerasan dan
peperangan hanya digunakan apabila keselamatan terancam.
No comments:
Post a Comment