Friday, 20 May 2016

TUJUAN SALAM

Kebaikan yang perlu direbut melalui ucapan salam yang disepatutnya kita menjadikan ia amalan seharian.

- Memberi salam dan menjawab salam adalah doa. Ungkapan salam yang paling ringkas ialah ‘assalamualikum’ yang bermaksud ‘doa sejahtera ke atas kamu’. Dengan mengucapkan doa untuk kebaikan orang lain, sebenarnya turut memberi kebaikan kepada diri sendiri. Tambahan pula, orang yang ditujukan salam ini wajib menjawabnya yang juga adalah satu doa.

Sebenarnya, menjawab soalan juga dikategorikan satu doa. Jawapan salam seringkas-ringkasnya ‘walaikummussalam’ yang bermaksud ‘dan doa sejahtera juga ke atas kamu’. Ini bermakna, lebih banyak diucapkan salam, maka lebih banyak doa dibalas. 

- Tanda keikhlasan hati.  Doa yang diucapkan adalah tanda keikhlasan hati dalam mengharapkan kesejahteraan kepada orang lain. Secara tidak langsung akan terpancar akhlak mulia dan terpuji yang menimbulkan ketenangan dan kebahagiaan pada diri, keluarga dan masyarakat.

- Ganti kepada yang terbaik.  Siapa mengucapkan helo tidak mendapat apa-apa faedah. Perkataan selamat pagi pula diterjemahkan daripada perkataan good morning.  Mengapakah kita mengucapkan selamat kepada pagi sedangkan sepatutnya selamat didoakan kepada orang ditemui. Sesiapa yang mengucapkan salam bermakna menggantikan perkataan ‘biasa’ kepada perkataan yang terbaik.

- Mudah diucapkan.  Amalan itu mudah dilakukan kerana tidak memerlukan syarat khusus dan masa yang tertentu, tetapi amalan itu mempunyai besar kelebihannya jika diamalkan. Semua umat Islam dapat mengucapkan perkataan salam dengan baik dan memahami ungkapan itu. Sebab itu, individu yang faham peri pentinnya mengucapkan salam tidak akan mempersia-siakan kebaikan di sebalik amalan itu.

- Tanda beragama Islam.  Semasa berada di tempat yang menggunakan bahasa asing dan tidak difahami, antara perkataan yang difahami ialah ucapan salam. Ini kerana ungkapan salam sama bagi seluruh umat Islam biarpun berlainan bahasa percakapan harian. Justeru apabila ungkapan salam diucapkan, orang lain dapat mengetahui dia beragama Islam serta mudahlah terbentuk ikatan persaudaraan sesama Islam biarpun berada di mana-mana sekalipun. 

- Tanda dihormati.  Dapat dirasakan percakapan yang dimulai dengan salam lebih mesra dan dilakukan mengikut adab-adab orang Muslim. Orang yang ditujukan ucapan salam merasakan dirinya dihormati haknya sebagai seorang Muslim. Manakala, orang yang memberi salam pula merasakan kehadirannya diterima apabila salamnya dijawab. 

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Demi diriku di atas tangan-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman dan tidak beriman kamu sehinggalah kamu berkasih sayang. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu pekerjaan yang akan menambah kasih sayang sesama kamu. Iaitu hendaklah kamu sebarkan salam di antara kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

- Bolah diucapkan kepada sesiapa pun. Kita dituntut agar mengucapkan salam ditujukan kepada sesiapa saja, termasuk ahli keluarga sendiri dan orang yang tidak dikenali. Malah salam berperanan sebagai permulaan kepada perkenalan atau perhubungan di antara individu atau kumpulan.  Ucapan salam dijadikan pembuka kata menandakan kadatangannya dengan tujuan yang baik. 

- Mudah mesra.  Interaksi dimulai dengan salam mudah mesra dan diberkati yang mana sebarang perasaan syak wasangka dan sombong dapat dijauhkan. Ucapan salam menundukkan perasaan buruk, dan digantikan dengan sifat baik. Kebahagiaan hidup seseorang banyak berpunca daripada hati yang ikhlas melakukan amalan baik.   

- Bukan sekadar adat.  Secara dasarnya salam hanya memerlukan ucapan perkataan assalamualaikum, tetapi satu lagi perbuatan yang digalakan diamalkan semasa memberi dan menjawab salam ialah berjabat tangan. Sebenarnya dalam masyarakat Islam di Malaysia, mengucap salam dan berjabat tangan itu dianggap nilai pekerti yang sudah sebati apabila mengunjungi atau menanti kunjungan. Sebab itu dalam masyarakat Melayu berjabat tangan lebih kerap disebut bersalam.

Dengan kata lain, apa yang diamalkan dalam masyarakat kita sebenarnya bukan sekadar adat, tetapi ialah satu ibadat. Tetapi, jika ia dilakukan sebagai adat, maka ia sekadar menyempurnakan adat. 

Sebab itu dalam apa perkara sekalipun, kefahaman mengenai apa yang dilakukan amat penting bagi membezakan antara satu amalan diberi ganjaran pahala atau hanya satu kebaikan yang diperoleh di dunia semata-mata. Sesungguhnya setiap amalan itu dinilai pada niatnya. Oleh itu haruslah kita melakukan sesuatu dengan satu niat kerana tuntutan agama atau kerana Allah.

- Lembutkan hati. Perkataan salam adalah sebaik-baik perkataan untuk menghubungkan sesama Muslim. Sebab itu, perbanyakkan amalan mengucapkan salam agar hati sentiasa digilap bagi mengelak daripada terus dikotori amalan dosa. Salam yang diucapkan akan mendekatkan hati dengan suasana kehidupan sebagai seorang Muslim dan dapat melunakkan hati agar suka melakukan kebaikan. 

Hati yang kotor sukar untuk mengucapkan perkataan yang baik. Itu bertentangan dengan kebiasaan yang mereka lakukan. Sesiapa yang sukar atau berat mulut mengucapkan salam membuktikan hatinya berada dalam keadaan kotor. Kekotoran hati jika tidak dibersihkan akan menyebabkan diri seseorang berada dalam keadaan jiwa yang tertekan.

Memberitahu kehadiran. Ketika bertandang ke rumah orang lain, mulakan dengan memberi salam untuk memberi tahu tuan rumah mengenai kedatangan kita. Kebiasannya, selepas menjawab salam, baru tuan rumah akan mempersilakan masuk.  Mungkin, juga dalam keadaan tertentu tuan rumah tidak menjemput masuk, jadi janganlah masuk ke rumah tanpa kebenaran. 

Salam itu juga boleh dijadikan isyarat kepada penghuni rumah itu agar bersedia menerima tetamu dari segi pakaian dan tatasusila. Dalam rumah itu mungkin terdapat isteri dan anak gadis yang berpakaian tidak menutup aurat. Jadi, setelah mendengar salam dari orang lelaki yang bukan mahramnya, dapatlah dia mencari pakaian yang sesuai atau duduk di dalam bilik untuk mengelak dipandang lelaki bukan mahram yang datang bertandang itu. 

No comments:

Post a Comment