Thursday, 12 July 2018

BOT TAMBANG KAMPUNG LAUT

Perkhidmatan bot tambang atau bot penambang yang juga dikenali motorbot ulang alik dari Kampung Laut di Tumpat merentasi Sungai Kelantan menuju pangkalan bot Tambatan Diraja, di Kota Bharu masih mendapat permintaan biarpun semakin berkurangan.

Perkhidmatan pertama setiap hari bermula jam 07.20 pagi dari Kampung Laut dan perjalanan terakhir pada pukul 06.30 petang dari Kota Bharu. Bayaran sehala setiap penumpang dewasa dikenakan RM1.50 setiap orang dan Rm1.00 kepada kanak-kanak. Terdapat 10 perjalanan dari Kampung Laut dan 10 perjalanan dari Kota Bharu setiap hari.

Sebenarnya jadual perjalanan dan harga tambang baru diubah pada April 2018. Sebelum itu tambang sahala dikenakan kepada dewasa hanya RM1 dan kanak-kanak RM0.60. 

Manakala perkhidmatan disediakan sehingga pukul 11.45 malam. Bilangan pengguna sehari sekarang ini sekitar 100 orang sahaja, berbanding kira-kira 200 hingga 300 orang sehari pada awal 80an.  

Pengurangan permintaan disebabkan pengguna lebih selesa menggunakan kenderaan sendiri memandangkan sekarang ini kadar kesesakan lalulintas di antara Kota Bharu ke Kampung Laut semakin berkurangan apabila laluan kedua Jambatan Sultan Yahya Petra dibuka sejak tahun 2013. 

Tambahan pula, aktiviti perniagaan kini tidak lagi tertumpu di pusat bandar Kota Bharu, tetapi telah berkembang di Lembah Sireh dan beberapa kawasan lain yang mana ia memerlukan kederaan darat seperti motosikal dan kereta untuk ke lokasi itu.

Tempoh perjalanan sehala bot tambang mengambil masa kira-kira 20 minit dan boleh membawa 20 orang penumpang pada satu-satu masa.

No comments:

Post a Comment