Menuntut
ilmu merupakan kewajipan dan tuntutan terhadap setiap insan. Ini kerana, ilmu
merupakan kayu ukur dalam kehidupan kita dalam menentukan sama ada perkara yang
kita lakukan itu benar ataupun tidak sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah
SWT dan Rasulullah SAW. Selain itu, Allah SWT juga akan mengangkat orang-orang
yang berilmu dengan beberapa darjat.
Firman
Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11 bermaksud: “Supaya Allah SWT
meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang
yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa
darjat.”
Melihat
kepada firman Allah SWT ini, akan diangkat orang yang beriman daripada kalangan
orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada kalangan orang yang bukan
alim.
Telah
berkata Ibn Masud RA bahawa Allah SWT telah memuji ulama di dalam ayat ini,
iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas
orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. [Lihat:
Tafsir al-Qurthubi, 17/299]
Ada
hadis yang menyatakan bahawa ganjaran orang yang keluar ke masjid dengan tujuan
untuk mencari atau mempelajari sesuatu kebaikan maka Allah SWT akan memberikan
ganjaran seperti menunaikan haji dengan sempurna.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Barangsiapa yang pergi ke masjid dengan tujuan untuk
mempelajari sesuatu kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti
orang yang menunaikan haji dengan sempurna.” [Riwayat al-Thabarani di
dalam al-Mu’jam al-Kabir (7473)]
Hukum
Hadis
Di
antara ulama yang menilai status hadis ini ialah:
-
Imam al-Munziri (656 H) mengatakan bahawa Imam al-Thabarani meriwayatkan hadith
ini dengan sanad yang tidak mengapa (sanad yang baik). [Lihat: al-Targhib
wa al-Tarhib, 59/1]
-
Imam al-Dhimyathi (705 H) juga menyatakan sanad hadith ini tidak mengapa. [Lihat:
al-Muttajir al-Rabih, 22]
-
Imam al-Iraqi (806 H) menilai sanad hadith ini adalah baik. [Lihat:
al-Mughni, 1740/1]
-
Imam al-Haithami (807 H) mengatakan bahawa perawi-perawi hadith ini adalah
dipercayai. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 245/2]
-
Syeikh al-Albani (1420 H) menghukum hadith ini sebagai hasan sahih. [Lihat:
Sahih al-Targhib wa al-Tarhib, 145/1]
Melihat
kepada beberapa penilaian para ulama di atas, kami nyatakan bahawa hadith ini
adalah sahih. Tambahan pula, Imam al-Hakim (405 H) turut meriwayatkan hadith
ini dengan sanadnya berbeza di dalam kitabnya dan ia boleh menjadi sokongan
kepada hadith di atas.
Maksudnya:
“Barangsiapa yang pergi ke masjid dengan tujuan untuk mempelajari sesuatu
kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti orang yang menunaikan
umrah dengan sempurna dan barangsiapa yang pulang ke masjid dengan tujuan untuk
mempelajari sesuatu kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti
orang yang menunaikan haji dengan sempurna.” [Riwayat al-Hakim (311)][Imam
al-Zahabi menyatakan hadith ini menepati syarat Imam al-Bukhari]
Dengan
kata lain, memang terdapat hadis yang sahih menyatakan berkaitan kelebihan atau
ganjaran haji bagi orang yang keluar mencari dan menuntut ilmu.
Sifat
inilah yang sepatutnya dicontohi oleh setiap insan iaitu cintakan ilmu. Selain
itu juga, di antara perkara yang penting dalam menuntut ilmu ini adalah
sentiasa membetulkan niat supaya tujuannya bukanlah untuk dikenali atau
dikatakan bahawa dia adalah yang paling alim berbanding orang-orang lain.
Namun,
ia perlu difahami bahawa ganjaran pahalanya adalah seperti menunaikan haji dan
ia sama sekali tidak menggugurkan kefardhuan haji ke atas seseorang itu.
No comments:
Post a Comment