Wednesday 19 August 2020

TERUS BERJUANG TANPA BERPUTUS ASA

Jika kamu tidak dapat terbang, berlarilah. Jika kamu tidak dapat berlari, berjalanlah. Jika kamu tidak dapat berjalan, merangkaklah. Justeru, apapun yang kamu mampu lakukan, yang pasti kamu terus bergerak ke hadapan.        

Kita tidak dapat mengubah apa yang berlaku pada hari semalam, tapi kita boleh menjadikan hari esok lebih baik dari hari semalam.

Dalam hidup ini ada pelbagai jenis bentuk kekurangan pada diri, namun ia bukan satu keadaan untuk dijadikan sebagai penghalang mutlak kepada usaha kita.

Ianya adalah merupakan proses kehidupan sebagai seorang manusia yang tidak terlepas dari sebarang halangan. Cabaran itu seharusnya dihadapi dengan penuh keyakinan dan daya usaha termampu dilakukan.

Kita mesti bergerak ke hadapan. Menjadikan keadaan hidup lebih baik dari sebelumnya. Masa hadapan tidak pasti, tetapi pasti kita kena hadapinya selagi kita masih bernyawa dan menjadi penghuni di alam maya ini.

Masa hadapan adalah perkara yang selalu menjadi kerisauan dalam diri kita. Kita sangat risau jika tidak dapat kerjaya yang baik di masa hadapan kerana kita sudah tentu mahu hidup dengan senang di masa hadapan.

Walau di mana sahaja tahap kita berada sekarang, kita masih boleh berubah dan berjaya dalam hidup kita. Masa yang lepas biarkan ianya lepas. Jadikan ianya sebagai pengajaran yang berguna dalam hidup kita.

Kita masih ada masa lagi pada hari ini untuk melakukan sesuatu yang boleh mengubah nasib diri kita. Kita masih ada masa untuk berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam apa sahaja kerja yang kita lakukan pada hari ini. Teruskan berusaha dengan penuh semangat yang kita sebenarnya boleh mengecapi kejayaan dalam hidup ini.

Orang yang berputus asa adalah orang yang rugi. Memang benar tersangatlah rugi bagi orang yang mudah berputus asa dalam hidupnya. Tidak ada orang yang dapat membantu jika mereka telah berputus asa dalam hidupnya.

Kita sepatutnya jangan mudah berputus asa walaupun telah banyak kali kita gagal dalam hidup ini. Kegagalan adalah satu ujian dalam hidup ini. Lihatlah kepada orang-orang yang telah berjaya. Mereka juga pernah gagal dalam hidup mereka. Jadikan kejayaan mereka sebagai pencetus semangat untuk terus berjaya.

Kita sepatutnya bersyukur dengan apa sahaja nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kita. Bersyukurlah dengan rezeki yang kita perolehi pada hari ini. Kita tidak tahu bila-bila masa sahaja ianya akan ditarik balik.

Jangan kita jadi orang yang lupa diri dengan nikmat yang kita perolehi. Jika kita seorang yang bersyukur, mudah-mudahan nikmat yang kita perolehi hari ini akan semakin bertambah lagi.

Setiap orang akan dapat merasai nikmat dalam hidup ini. Nikmat bagi setiap orang adalah berbeza-beza. Kekayaan dengan harta benda bukanlah segala-galanya dalam hidup seseorang.

Kebahagiaan hidup adalah nikmat yang sebenarnya. Sudah tentu kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat yang kita mahukan. Semoga Allah mencukupkan kita nikmat semasa di dunia, dan memperbanyakkan nikmat pada hari akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment