Wednesday, 13 January 2021

Tiga menteri terus fokus tangani pandemik Covid-19

Dalam keadaan sekarang, banyak warganet dan rakyat yang menzahirkan rasa tidak puashati dengan prestasi kerajaan dalam menangani acaman Covid-19. Jumlah kes Covid-19 terus meningkat seperti tidak ada tanda-tanda akan menurun, dan tidak mungkin akan hilang dalam tempoh masa terdekat.

Kegagalan itu bukan bermakna tiada ada usaha dilakukan. Siang malam menteri dan pegawai yang berkenaan bertungkus lumus melakukan usaha terbaik mencari jalan penyelesaian atau meredakan masalah yang dihadapi ini.

Tidak semua perkara atau tindakan mesti dihebohkan. Inilah dilakukan tiga menteri yang secara langsung bertanggungjawab dalam menangani isu ancaman Covid-19 di negara kita.

Menteri yang dimaksudkan Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri  Dr Adham Baba (Menteri kesihatan) dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Terkini, ketiga-tiga mereka telah berjaya mempercepatkan proses mendapatkan vaksin ke negara kita apabila satu persefahaman antara Kerajaan Malaysia melalui anak syarikat Boustead Berhad iaitu PharmaNiaga Berhad dan SINOVAC dari China.

Melalui persefahaman dibuat, Syarikat Sinovac ini akan membuat penghantaran vaksin fasa pertama kepada Malaysia melalui PharmaNiaga Berhad dalam tempoh sebulan.

Diharapkan apabila vaksin mula diberikan kepada rakyat maka kes-kes baharu akan mula berkurangan dan negara menuju ke arah satu kejayaan dalam memerangi pandemik Covid-19 ini.

Ismail Sabri yang dipertanggungjawab sebagai jurucakap kepada kabinet berkaitan Covid-19 tidak betah duduk diam. Apa sahaja isu berkaitan Covid-19 dalam jangkauan pengetahuan beliau. Maklumat tepat mengenai sesuatu keadaan tidak dipandang ringan demi rakyat mendapat yang terbaik.

Beliau jarang mengeluarkan kenyataan politik kepartian. Usaha dan sepenuh tumpuan diberikan semata-mata untuk menyelesaikan keperluan mendesak berkaitan keselamatan rakyat.

Isu panas politik kepartian tidak menggugat kesetiaan Ismail Sabri untuk melaksanakan tugas. Beliau tidak memberi komen politik kepartian yang boleh menambah resah rakyat.

Beban perasaan rakyat mendepani ancaman Covid-19 yang turut melibatkan kewangan dan sosial tidak sepatutnya ditambah lagi dengan kegawatan politik.

Gambar:
Ismail Sabri Yaakob (lima dari kiri) bersama Adham Baba (tiga dari kiri) dan Khairy Jamaluddin (tiga kanan) bergambar pada majlis menandatangani perjanjian bekalan vaksin Covid-19 Pharmaniaga dengan Sinovac pada 12 Jan 2021- UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN

No comments:

Post a Comment