Sunday 23 May 2021

PESAWAT TEBUAN JET PEJUANG PERTAMA TUDM

Apabila Tentera Udara Diraja Persekutuan ditubuhkan pada 1958 semasa negara baharu mencapai kemerdekaan, ia tidak dilengkapkan dengan pesawat pejuang. Konsep tentera udara kita pada masa itu adalah sebagai “Non-Fighting Force”. Ia itu hanya mempunyai pesawat pengangkut dan helikopter sahaja.

Pengenalan pesawat jet pejuang CL-41G Tebuan menandakan berakhirnya konsep "Non-Fighting Force" TUDM. Ketibaan pesawat berkenaan pada bulan Ogos 1967 di pangkalan TUDM Kuala Lumur merupakan mukadimah kepada operasi pesawat pejuang dalam TUDM.

Tebuan adalah versi taktik Canadair CL-41 jenis pelatih jet Tutor yang digunakan oleh Royal Canadian Air Force (RCAF) dan TUDM adalah satu-satunya pengendali versi 'G' di dunia dengan 20 pesawat yang diubahsuai lebih berkuasa dengan enjin General Electric J85-J4 turbojet dan TUDM berjaya mengekalkan pesawat terbang selama lebih daripada 20 tahun.

Skuadron Keenam yang dilengkapkan dengan pesawat Tebuan ini kemudiannya di pindahkan ke TUDM Kuantan pada bulan Mac 1968 dan pada 2 September 1969 sebuah lagi skuadron Tebuan diwujudkan iaitu Skuadron Kesembilan di TUDM Kuantan untuk melatih juruterbang jet pejuang TUDM.

Pada 16 April 1976 Skuadron Keenam telah terlibat dengan operasi iaitu OPS KOTA GUBIR untuk membuat serangan udara ke atas sasaran pengganas komunis yang telah dikenalpasti oleh pasukan Tentera Darat di sekitar sempadan Malaysia-Thailand dan ia merupakan operasi terbesar yang melibatkan pesawat Tebuan.

Semua pesawat telah dilengkapkan dengan mini-gun dan roket manakala sebahagian daripada fleet dilengkapkan dengan bom 500 Ib untuk digugurkan di kawasan musuh dan dalam misi berkenaan helikopter Alouette di terbangkan ke kawasan musuh yang bertindak sebagai Forward Air Controller (FAC) untuk memberi panduan kepada pesawat pejuang untuk membuat serangan.

Serangan bersepadu itu melibatkan pesawat pejuang F5-E, helikopter Nuri untuk mengangkut pasukan Tentera Darat ke barisan hadapan dan semua pergerakan dibuat begitu rapi mengikut jadual dan dengan cuaca yang baik sepanjang masa operasi pesawat Tebuan yang kecil dapat menyelinap dengan pantas ke kawasan musuh dan memulakan serangan dan pengeboman.

Serangan pertama pesawat Tebuan didapati tidak memberi banyak kesan untuk memberi tamparan kepada musuh kerana keadaan hutan yang tebal memberi masalah untuk memuntahkan semua senjata yang dibawa oleh pesawat pejuang Tebuan dan serangan tersebut merupakan pengalaman operasi terbesar pesawat Tebuan.

Serangan bertubi-tubi terus dilakukan dengan pertolongan helikopter Alouette yang terbang rendah memberi panduan arah serangan yang patut dilaksanakan dan laporan yang diterima pada keesokan harinya menunjukkan terdapat kesan darah tetapi pengganas komunis telah lari meninggalkan Malaysia.

Operasi pengeboman ke atas kawasan yang disyaki menjadi persembunyian pengganas komunis diteruskan oleh pesawat Tebuan pada 17 April 1976 dan hasil daripada serangan daripada udara telah memberi semangat kepada pasukan Tentera Darat untuk bergerak ke lokasi musuh dan menawan kawasan perkhemahan yang telah ditinggalkan.

Banyak lagi operasi yang dilaksanakan oleh skuadron Tebuan semasa era insurgensi komunis kali kedua setelah darurat pertama 1948-1960 berakhir, iaitu OPS INDRA, OPS CABUT, OPS NESAN, OPS BANTU SEGERA, OPS DOAYAI MUSNAH, OPS CAHAYA BENA dan OSP SELAMAT SAWADEE.

Pesawat Tebuan adalah pesawat tempur pertama digunakan oleh TUDM, kerana sebelum itu TUDM hanya mempunyai pesawat-pesawat bukan tempur dan peranan TUDM ditumpukan kepada perkhidmatan pengangkutan dan perhubungan sahaja dan TUDM menggunakan Tebuan sehingga tahun 1986 apabila perkhidmatan Tebuan diambil alih pesawat Aermacchi MB-339A.

Pesawat Tebuan menggunakan enjin 2,950-pound thrust General Electric J85-J4 turbojet dengan berat kosong 5,296 lbs, berat maksimum semasa berlepas : 11,288 lbs. dengan kederasan maksiumum 480 batu/jam, ketinggianmaksimum 42,200 kaki dan jarak operasi 1,240 batu.

Sepanjang perkhidmatannya dengan TUDM pesawat Tebuan telah menjadi platform pertama perang untuk melawan kegiatan komunis sepanjang era insurgensi komunis kedua sebelum Chin Peng mengakhiri perjuangan senjata ekoran persidangan dengan kerajaan Malaysia di Thailand.

Beberapa buah pesawat telah terlibat dalam kemalangan udara dan mengorbankan juruterbang semasa pesawat Tebuan menjalani latihan namun ia tidak mematahkan semangat para juruterbang yang telah menerbangkan pesawat Tebuan yang menjadi mukadimah kepada operasi pesawat pejuang TUDM.

Sengatan Tebuan akan terus menjadi kenangan para juruterbang yang telah mengendalikannya.

No comments:

Post a Comment