Agama
Islam satu-satunya cara hidup menepati kehendak fitrah manusia. Segala hukum
aturan hidup Muslim ditetapkan berdasarkan tuntutan lahiriah dan
rohaniah. Allah mengetahui segala keperluan setiap hamba-Nya dan
menetapkan apa diperlukan.
Salah
satu aturan hidup Islam ialah menepati janji. Firman Allah bermaksud: “Wahai
mereka yang beriman! Sempurnakan janji-janjimu.” - (Surah al-Maidah, ayat
1).
Menepati
janji merupakan sifat terpuji yang diamalkan para rasul dan nabi. Firman Allah
SWT bermaksud: “Sesungguhnya dia (Nabi Ismail) adalah benar menepati janji, dan
adalah dia seorang Rasul lagi berpangkat Nabi.” (Surah Maryam, ayat 54).
Islam
mementingkan menepati janji kerana ia merupakan keperluan membentuk hubungan
dengan Allah dan sesama manusia. Setiap masa manusia perlu menunaikan janji dan
kesetiaan yang diucapkan.
Perkara
utama ialah menepati janji dengan Allah. Setiap Muslim telah mengikat janji
mengabdikan diri kepada Allah. Ia bertepatan dengan tujuan Allah menjadikan
manusia sebagai khalifah di muka bumi.
Firman
Allah bermaksud: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk
mengabdikan diri dan beribadat kepada-Ku.” - (Surah adz-Dzariyat, ayat
56).
Dalam
ucapan khalimah syahadat, setiap Muslim mengakui kekuasaan Allah dan kerasulan
Nabi Muhammad. Pengakuan tersebut adalah satu janji untuk mematuhi segala
syariat ditetapkan Allah dan mengikuti contoh amalan ditunjukkan oleh
Rasulullah.
Hubungan
janji sesama manusia merupakan sendi kehidupan bermasyarakat. Setiap hari kita
tidak terlepas daripada mengungkapkan perkataan bermaksud
janji.
Janji
bermaksud kesediaan dan persetujuan untuk melakukan, tidak melakukan, memberi,
mendapatkan dan menjadikan sesuatu, benda atau keadaan. Kesediaan tersebut
biasanya berkaitan tempoh masa akan datang atau selepas itu.
Orang
berjanji sebagai pihak pertama dan orang mengharapkan janji ditunaikan
(dijanjikan) sebagai pihak kedua. Jika terdapat pihak menyaksikan perjanjian,
dianggap pihak ketiga.
Pentingnya
menunaikan janji sebagai akhlak orang mukmin. Sebaliknya, sifat tidak menepati
janji menjadikan seseorang munafik.
Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Tiga perkara sesiapa yang berada di dalam dirinya,
maka dia munafik, walaupun dia berpuasa, sembahyang dan mengaku dirinya Muslim.
Apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri janjinya dan
apabila dipercayai dia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Gambar: Bunga tapak kuda. Sekadar hiasan.
No comments:
Post a Comment