Kes banjir kilat kerap berlaku. Disebabkan
hujan lebat beberapa jam, kawasan telah ditengelami air yang tidak mengalir.
Banyak harta benda tidak dapat dipindahkan dan mengalami kerosakan. Ini
termasuk kenderaan yang diletakkan di kawasan letak kenderaan. Air memasuki
rumah dan menengelamkan peralatan dan perabot di dalam rumah. Banyak rakyat
mengalami kerugian dan kesusahan akibat banjir kilat yang tidak dijangkakan
berlaku.
Kenapa kerap berlaku banjir kilat? Pertamanya tentu disebabkan hujan lebat. Itu
jawapan bocor yang telah lama digunakan. Jawapan kedua, banyak pihak tidak
senang dengan jawapan ini iaitu aliran air atau sungai tersekat.
Punca aliran sungai atau parit tersekat
banyak sebab. Biasanya disebabkan proses urbanisasi yang tidak terancang.
Pembangunan pesat yang berlaku tidak mengikut rancangan asal pembangunan. Sebab
itu, kawasan yang dahulunya tidak pernah berlaku banjir, kini menjadi mimpi
ngeri kepada penduduk di kawasan berkenaan setiap kali berlaku hujan.
Aliran sungai tersekat disebabkan sampah
sarap dibuang merata-rata. Sungai tidak dijaga dari aspek kebersihan hingga
sampah sarap menghalang laluan air. Tidak terkecuali menyekat aliran air ialah
pokok renek serta rumput yang tumbuh subur di laluan air.
Penjagaan sungai di negara kita agak teruk,
terutama yang melalui kawasan bandar dan penempatan. Kebersihan sungai tidak
dijadikan keutamaan disebabkan perbelajaan agak besar, sedangkan ia sekadar
untuk mengalirkan sisa domestik dan air kotor. Lebih-lebih lagi kedudukan
sungai di bahagian belakang bangunan atau tersembunyi ditutup oleh pokok serta
rumput di tebingnya. Tidak ada siapa yang pedulikannya.
Masyarakat sedar kesilapan dan mula
memikirkan soal sungai apabila berlaku bencana akibatnya. Ketika itu sudah
banyak berlaku kerosakan harta benda dan mungkin juga melibatkan nyawa.
Namun, pengalaman itu tidak memberi
pengajaran. Sungai masih berada di takuk lama, tidak diseliakan dengan baik.
Kalau ada sedikit usaha untuk melancarkan aliran air, ia hanya ketika musim
banjir itu saja. Itupun, setelah banjir kilat berlaku dan bertujuan menambah
kadar aliran agar cepat surut.
Itu soal sungai tidak diselengara dengan
baik. Satu lagi masalah ialah tidak ada laluan air seperti longkang atau parit
disediakan. Ini berlaku di kawasan perumahan baru dibina. Pemaju sekadar
membina longkang di kawasan perumahan yang dibina. Sedangkan aliran air itu
sepatutnya dialirkan sehingga ke longkang lebih besar atau sungai.
Banjir kilat yang berlaku di kawasan itu
biasanya tidak melibatkan kawasan rumah yang baru dibina. Dengan kata
lain, pemaju boleh lepas tangan. Ini biasa berlaku. Kawasan yang tidak pernah
mengalami banjir terpaksa berdepan dengan musibah dicipta akibat kerakusan
pihak lain untuk mendapat keuntungan.
Pihak berkuasa tempatan perlu peka kepada
masalah ini. Sebarang kelulusan memajukan kawasan perumahan, perindustrian,
kompleks beli belah dan sebagainya perlu mengambil kira semua aspek, termasuk
soal pengaliran air di kawasan itu ketika hujan lebat.
Adalah tidak adil, ketika pihak lain
mendapat keuntungan dan bersenang lenang, pihak lain pula menerima kesan buruk
akibat pembangunan itu. Jika perlu dikeluarkan kos tambahan untuk membina
longkang besar, perbelanjaan itu mesti disediakan. Bahkan, jika pemaju tidak
mampu menyediakan longkang besar seperti diperlukan, wajar projek itu tidak
diteruskan.
No comments:
Post a Comment