Friday, 26 August 2022

SYAITAN SUKA MENDAMPINGI ORANG KEDEKUT

 
Syaitan sentiasa mendampingi orang bakhil dengan membisikkan rasa kecintaan yang keterlaluan terhadap harta. Sebab itu si bakhil merasakan orang di sekelilingnya sentiasa ingin merampas harta miliknya. 

Si bakhil terlalu berat hati untuk bersedekah biarpun dalam jumlah yang kecil. Tetapi dia merasakan satu kebanggaan membelanjakan sejumlah besar wangnya untuk bersuka ria dan melakukan sesuatu yang meletakkan dirinya dipandang hebat berbanding orang lain. 
 
Ada individu yang bersedekah kerana ingin mendapat publisiti. Acara menyerahkan sedekah dihebohkan melalui media massa agar banyak orang mengetahuinya.
 
Sedekah yang sedemikian sebenarnya tidak layak dipanggil sedekah tetapi hanya satu sumbangan biasa atau 'bayaran' untuk mendapat publisiti.
 
Si bakhil yang tertutup hatinya daripada sinar keimanan bukan sahaja tidak mahu bersedekah bahkan menafikan hukum wajib zakat. Mengeluarkan zakat harta adalah wajib dilaksanakan sebagai Rukun Islam. 
 
Si bakhil yang tidak mahu mengeluarkan zakat adalah sikap yang diwarisi daripada Qarun yang menolak perintah Allah agar dirinya mengeluarkan zakat sekiranya masih ingin menjadi sebahagian pengikut Nabi Musa. 
 
Qarun membantah perintah mengeluarkan zakat kerana mengaku segala kekayaan yang dimiliki adalah hasil kebijaksanaannya. Sebagai balasannya seluruh kekayaan dan diri Qarun sendiri ditelan tenggalam ke dasar bumi.
 
Syaitan menjadi kawan rapat si bakhil untuk melahirkan rasa takut membelanjakan kekayaan ke jalan Allah. 
 
Perkara ini dinyatakan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Syaitan menakut-nakutkan kamu, kalau-kalau kamu akan menjadi miskin dan menyuruh kamu melakukan kejahatan.” (Surah al-Baqarah, ayat 219). 
 
Sesungguhnya, kekayaan hanya mendatangkan manfaat jika dibelanjakan ketika hayat masih ada. Tidak ada orang membawa kekayaan sehingga ke alam akhirat. Kekayaan itu perlu digunakan dengan cara bersedekah atau digunakan ke jalan Allah sebagai bekalan di akhirat.
 
Allah menjadikan golongan kaya dan miskin dengan hikmah-Nya. Firman Allah: “Dan Allah telah melebihkan sebahagian kami daripada sebahagian yang lain dalam hal rezeki.” (Surah al-Nahl, ayat 71).

Kita perlu sedar realiti kehidupan yang mana kedua-dua golongan kaya dan miskin saling memerlukan. Golongan kaya mendapat harta dengan menggunakan tenaga orang miskin (secara relatif) sebagai buruh. Manakala golongan miskin pula mendapat upah atas khidmat yang diberikan.  

Sekiranya semua orang memiliki kekayaan yang sama dan tidak lagi mengharapkan upah daripada orang lain, tidak ada individu yang sanggup melakukan kerja untuk orang lain. Ketika itu, kekayaan tidak mempunyai apa-apa erti lagi. 

No comments:

Post a Comment