Saturday 17 February 2024

CARA ATASI ANGIN DI DALAM BADAN

 
Masalah angin di dalam badan berpuna adanya masalah penghadaman. Setiap orang mempunyai kadar keberkesanan penghadaman berbeza, Sebab itu, apabila makan sesuatu jenis makanan, ada individu akan berdepan dengan masalah angin, sedangkan individu lain tidak menujukkan atau kesan angin.
 
Pada hakikatnya, makanan itu tak bersalah dan tiada angin di dalamnya. Masalahnya ialah sistem penghadaman sesetengah orang yang tidak sempurna.
 
Bila makanan itu dihadamkan sehingga lumat, ia akan diserap dari dinding usus ke dalam darah. Jika makanan itu tidak dihadam, ia akan tinggal di dalam usus untuk dibawa keluar sebagai najis. Makanan yang tak habis hadam akan juga melalui proses penghadaman yang dibantu oleh bakteria yang hidup di dalam usus manusia.
 
Sebagai kesan sampingannya, bakteria itu mengeluarkan gas. Gas yang banyak boleh menyebabkan anda tidak selesa, perut kembung, sendawa dan terkentut-kentut.
 
Ada banyak jenis bakteria yang hidup dalam usus manusia. Inilah dinamakan the gut microbiome. Ada bakteria yang membuat lebih banyak gas, ada bakteria yang membantu menukar gas semula ke bahan lain. Jika anda tidak ada keseimbangan bakteria di dalam usus, maka anda ada lebih kecenderungan mendapat gas berbanding orang lain yang makan jenis makanan yang sama.
 
Jika anda juga ada usus yang tidak cergas dan lambat membawa makanan yang tak habis hadam keluar sebagai najis, terutamanya jika anda membiarkan diri mendapat sembelit, maka ini juga memberi lebih masa untuk bakteria dalam usus itu bertindak ke atas makanan yang tak habis hadam itu, dan lebih lagi lah pengeluaran gas, dan banyaklah lagi kentut anda.
 
Apa yang boleh merangsangkan dan mempercepatkan pergerakan usus anda ialah kecergasan diri dan bersenam. Ini boleh mengurangkan masalah sembelit dan gas di dalam usus.
 
Antara cara untuk mengatasi masalah angin di dalam badan:
- Berhenti sedut-sedut atau menghisap sebab anda sendiri memasukkan udara atau gas ke dalam perut anda. Sebagai contoh, berhenti hisap rokok, berhenti hisap vape dan berhenti menyedut minuman menggunakan straw. Minumlah dari cawan.
- Berhenti minum air bergas.
- Bantulah diri sendiri menghadamkan makanan. Bila makan, kunyah perlahan-lahan, kunyah banyak-banyak kali sebelum telan.
- Jika anda ada masalah menghadamkan makanan yang mentah, maka anda masaklah makanan itu dulu, sebab makanan yang dimasak lebih senang dihadam.  
- Elakkan sembelit sebab ini membiarkan makanan tak hadam duduk lama-lama dalam usus. Minum cukup air dan makanan berserat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran untuk mengelakkan sembelit dan bersenam.
- Bersenam dengan kerap. Cergaskan diri anda untuk membantu pergerakan usus yang lancar.
- Kalau sakit gigi dan tak boleh mengunyah dengan betul, jangan takut jumpa doktor gigi.

Gambar sekadar hiasan

No comments:

Post a Comment