Sukarelawan Bulan Sabit Merah Malaysia
(BSMM) Negeri Kelantan pantas bertindak dalam menangani isu bantuan kepada mangsa-mangsa
banjir. Mereka melakukan dengan pantas, tepat dan berhemah setiap tindakan dalam
keadaan bencana dan sumber yang terhad. Latihan dan pengalaman memberikan
mereka satu kekuatan fizikal dan mental untuk bertindak dengan berkesan.
Semangat kesukarelawan yang tinggi yang
ditanam di dalam diri setiap mereka menjana setiap langkah dan tindakan
dilakukan dengan jujur dan bertanggungjawab. Mereka tidak dibayar untuk
melakukan tugasan, tetapi tahap keikhlasan melakukan tugasan amat tinggi. Mereka
adalah wira-wira yang tidak didendang.
Jiwa mereka kental dan tahan diuji.
Kesukaran dalam melakukan tugasan tidak pernah dijadikan penghalang untuk
mereka menabur bakti. Sebarang kelemahan dan kekurangan diatasi bersama. Tiada
perasaan prejudis dan saling menyalahkan kerana matlamat mereka adalah sama
iaitu mencurahkan bakti kepada mereka yang memerlukan bantuan.
Dengan panggilan bertugas hanya melalui
kumpulan WhatsApp, mereka sampai tepat pada masanya. Memang ada yang tidak
hadir kerana halangan atau alasan tertentu, namun tugasan yang ditetapkan dapat
diselesaikan dengan kehadiran yang lain.
Semangat kesukarelawan ditunjukkan mereka
perlu dicontohi. Lebih banyak sukarelawan diperlukan untuk menjalankan tugasan-tugasan
pada masa akan datang. Kepada yang berminat boleh hadir mendaftar sebagai ahli
di Ibu Pejabat BSMM Negeri Kelantan yang terletak di Jalan Mahmood, Kota Bharu
(bersetentang dengan Hotel Perdana).
No comments:
Post a Comment