Friday, 15 November 2024

MESIN ATM PERTAMA DI MALAYSIA

 
Mesin juruwang automatik (ATM) pertama di Malaysia dilancarkan pada September 1981 oleh Maybank. ATM itu ditempatkan di Maybank Cawangan Ampang. Operasi ATM pertama di Malaysia itu dilancarkan kira-kira 14 tahun selepas ATM pertama di dunia dilancarkan. ATM pertama di dunia dilancarkan oleh Barclays Bank di England pada 27 Jun 1967 di cawangan Enfield, London Utara.
 
Sebelum ATM diperkenalkan di Ampang Park, pelanggan yang ingin mengeluarkan wang tiada pilihan selain perlu beratur di kaunter dengan membawa buku bank. ATM pertama ini hanya membenarkan pengeluaran wang maksimum RM500 sehari sahaja dan hanya dibuka dari jam 9:00 pagi hingga 7:00 petang.
 
Mesin pertama ini juga hanya menghadkan pemegang Akaun Semasa dan kad Visa sahaja boleh keluarkan wang di mesin itu.
 
Pada tahun 1982, HSBC & UOB pula melancarkan ATM mereka untuk pelanggan Akaun Simpanan dan Semasa. Waktu operasi mesin ditingkatkan dari 8:00 pagi hingga 12 tengah malam dengan pengeluaran maksimun sehingga RM1,000 sehari.
 
Sekarang ini, kewujudan ATM bukan sahaja untuk pengeluaran wang, bahkan juga kemasukan wang ke akaun sama ada akaun sendiri atau mana-mana akaun lain juga menggunakan mesin tersebut.
 
Pun begitu, penggunaan ATM sekarang ini dilihat semakin berkurangan apabila kaedah pembayaran tanpa wang semakin berkembang dan menjadi budaya baharu di Malaysia.

No comments:

Post a Comment