Tuesday, 4 February 2025

KAWAL MAKAN, JAGA KESIHATAN

 
Makanan adalah sumber utama dalam menyumbang kepada sesuatu penyakit.
 
Pengambilan makanan berkarbohidrat dalam jumlah yang banyak dan masa makan yang tidak menentu boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak teratur seterusnya mengakibatkan pesakit boleh mendapat pelbagai komplikasi.
 
Tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi dalam darah, paras gula dalam darah tinggi dan sakit perut, antara penyakit yang yang sering dikaitkan apabila gagal mengawal pemakanan.
 
Setiap sajian yang diambil harus pelbagai dan memenuhi diet seimbang dalam kuantiti sederhana terutama bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik bagi mengelakkan timbulnya masalah lain.
 
Setiap orang boleh makan apa sahaja, untuk menikmati juadah tetapi perlu bijak semasa memilih jenis dan kuantiti makanan.
 
Kurangkan pengambilan atau kuantiti makanan yang manis, berlemak dan masin, contohnya seperti air berkarbonat atau kordial, kuih-muih manis dan lauk-pauk mengandungi kandungan tinggi santan dan minyak.
 
Awas kepada pesakit kencing manis, mereka perlu mempunyai waktu makan yang teratur dan tidak boleh mengambil makanan berkanji dalam jumlah yang banyak pada satu masa.
 
Pengambilan air dan makanan manis perlu dihadkan dan tidak boleh diambil berulang kali. 
 
Bagi pesakit darah tinggi pula, mereka perlu mengawal pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam dan lemak.
 
Elakkan ambil kuah secara berlebihan dan kurangkan penggunaan perasa tambahan dalam masakan seperti MSG, kicap dan sos.
 
Makanan yang berminyak dan berlemak juga perlu dikurangkan seperti makanan bergoreng, santan, penggunaan 'butter' dalam kuih-kuih dan makanan berasaskan haiwan terutama rendang daging ataupun sup daging.
 
Oleh itu, melalui gaya hidup sihat seperti mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat dan meningkatkan aktiviti fizikal adalah sangat penting pada bila-bila masa.
 
Pesakit kencing manis juga harus makan ikut waktu, selain mematuhi jadual pengambilan ubat, tidak kira di mana pun mereka berada.

No comments:

Post a Comment