UMNO melancarkan Sekolah Patriotik UMNO,
sebuah institusi yang bukan sekadar wadah pembelajaran politik, tetapi medan
untuk membentuk roh dan jiwa perjuangan dalam kalangan generasi muda.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi, ketika melancarkan sekolah berkenaan berkata, sekolah tersebut bertujuan
melahirkan pemimpin masa depan yang bukan hanya memahami strategi dan
selok-belok politik, tetapi lebih penting, menjiwai nilai perjuangan UMNO yang
sebenar.
“Kita mahu membina kepimpinan yang bukan
sekadar mahir berpidato atau menguasai teori, tetapi benar-benar mempunyai daya
juang, daya tahan, dan daya saing yang tinggi - tanpa mengabaikan kesetiaan
kepada agama, bangsa, dan negara.”, katanya.
Sebagai permulaan, 50 peserta perintis
telah dipilih untuk mengikuti program ini. Mereka akan melalui modul-modul
latihan yang dirangka secara holistik, merangkumi aspek pemikiran kritis,
kepimpinan strategik, dan pemahaman mendalam terhadap perjuangan UMNO.
Modul ini akan terus dikembangkan dan
diperhalusi dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanannya dalam
membentuk generasi pemimpin yang cerdas, berani, dan berkeyakinan tinggi untuk
menggalas tanggungjawab besar dalam meneruskan obor perjuangan parti.
“Saya percaya bahawa usaha ini adalah satu
langkah strategik dalam memastikan UMNO terus relevan dan kekal sebagai tunjang
politik negara. Anak muda hari ini tidak boleh hanya menjadi penonton dalam
arena politik. Mereka perlu bangkit sebagai pemikir, perancang, dan pelaksana
yang mampu mencorakkan masa depan Malaysia.”, tambahnya lagi.
Melalui Sekolah Patriotik UMNO, membuka
ruang seluas-luasnya kepada generasi muda untuk menyumbang idea, berdiskusi
secara terbuka, serta menjalani latihan kepimpinan yang akan memperkasa
keupayaan mereka sebagai pemimpin masa hadapan.
Zahid yakin dengan kesungguhan, disiplin,
dan semangat perjuangan yang tinggi, Sekolah Patriotik UMNO akan menjadi batu
asas kepada kebangkitan generasi baharu yang akan membawa parti ini ke mercu
kejayaan yang lebih gemilang.
No comments:
Post a Comment