Tuesday, 29 March 2016

Islam utamakan piagam aman selamat


Keamanan merupakan hak seluruh warga dunia. Piagam dan cita-cita inginkan keamanan dipegang oleh semua agama dan masyarakat bertamadun. Tidak ada manusia berfikiran waras inginkan kepada suasana tidak aman. 

Tindakan melancarkan peperangan, pembunuhan dan kekerasan hanya dilakukan manusia zaman kuno untuk merebut sesuatu dikehendaki.  

Sesungguhnya Islam merupakan agama keamanan dan kesejahteraan. Islam menolak sebarang bentuk kekacauan dan keganasan. Seluruh umat Islam perlu menghayati erti persaudaraan sama ada sesama Islam, maupun dengan penganut agama lain. 

Ajaran Islam tetap satu dan sama, biarpun dianuti pelbagai bangsa, warna kulit dan negara. Risalah dibawa Islam tidak membezakan bangsa dan warna kulit. Siapa berpegang kepada ajaran Islam dan benar-benar beriman kepada Allah, maka dia berhak mendapat kemuliaan di sisi Allah. 

Firman Allah bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan; dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal mengenali antara satu sama lain. Yang lebih mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling takwa.” – (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Justeru itu tiada individu, kumpulan atau bangsa boleh mengaku lebih mulia dan berkuasa berbanding yang lain. 

Biapun dari bangsa berkuasa, warna kulit menarik, keturunan berdarjat, mewah dengan kekayaan dan ditakuti pihak lain, itu semuanya tiada bezanya di sisi Allah.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras dan harta benda kamu, tetapi Allah hanya melihat kepada hati dan amalan kamu.” - (Hadis riwayat Bukhari).

Islam melarang sebarang perpecahan, biarpun nampak kecil. Perpecahan kecil yang tidak dikawal akan mengakibatkan perpecahan lebih serius. Justeru itu, jangan memandang mudah kepada bibit-bibit perpecahan. 

Sebab itu Islam mengharamkan perbuatan berselisih faham, biarpun sekadar tidak bertegur sapa atau memalingkan muka melebihi tiga hari. Had tiga hari itu memberi peluang kepada individu yang berselisih faham memikirkan kesannya, mententeramkan fikiran dan mencari titik penyelesaian. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak halal bagi Muslim meninggalkan saudara Muslim yang lain lebih dari tiga hari, (di mana) keduanya berjumpa lalu yang seorang memalingkan dirinya dari yang lain.” - (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim).

Ini membuktikan Islam amat mementingkan ikatan persaudaraan dan menghalang sama sekali sebarang perpecahan. Biarpun perbuatan memaling muka dan tidak bertegur sapa sekadar ‘perang dingin’, ia tetap ditegah. Perbuatan tersebut akan merenggamkan dan lebih teruk lagi memutuskan tali persaudaraan. 

Gambaran daripada hadis tersebut dapat menjelaskan perbuatan pulau memulau, melancarkan tindakan ganas, tidak mengaku seagama dan menyelar dengan kata-kata tidak baik, tentulah amat dilarang sama sekali.

No comments:

Post a Comment