Benarkah ada ‘bohong sunat’ sepertimana istilah yang biasa digunakan di
kalangan khalayak. Bohong sama erti dengan tipu atau menipu. Ramai orang
mengaku dirinya berbohong atas dasar ia sunat untuk mendapat kebaikan atau
mengelak daripada sesuatu yang buruk.
Konsep bohong sunat hampir sama dilakukan oleh penganut fahaman Syiah yang
disebut Taqiyah, iaitu menyembunyikan sesuatu untuk menyelamatkan sesuatu
perkara. Di kalangan Syiah, amalan bohong menjadi satu perkara yang dianggap
mendatangkan pahala.
Dalam fahaman Ahli Sunah Waljamaah, tidak ada konsep bohong sunat. Bohong
atau dalam bahasa Arab disebut al-kazib amat ditegah sama sekali. Berbohong
adalah perbuatan dosa besar yang disebut dalam hadis sebagai salah satu
perbuatan orang munafik.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Tanda-tanda seseorang munafik itu adalah tiga
perkara iaitu apabila berjanji tidak ditunaikan, apa bercakap dia berdusta dan
apabila diberi amanah dia mengkhianati.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Munafik bermakna tidak sepenuhnya beriman kepada Allah. Orang munafik
mengaku beriman, tetapi tidak dengan sesungguhnya.
Manakala itu firman Allah bermaksud: “Bahawa orang-orang yang suka
melakukan pembohongan adalah orang tidak beriman kepada Allah, mereka itulah
pendusta.” - (Surah an-Nahl, ayat 105).
Berdasarkan kepada ayat al-Quran dan hadis, jelas sekali berbohong amat
ditegah. Jadi, tidak benar jika dikatakan ada bohong sunat. Jangan sebut bohong
sunat atas alasan untuk membenarkan berbohong.
Jika ada bohong sunat, bermakna sesiapa berbohong akan mendapat pahala.
Maksud sunat adalah sesuatu yang jika dilakukan akan mendapat pahala lebih
berbanding perbuatan harus lain. Maknanya ia perbuatan yang dituntut.
Jika, ada bohong sunat, maka akan berleluasalah perbuatan bohong.
Masing-masing akan berbohong atas alasan mengaku melakukan perbuatan sunat
untuk mendapat pahala.
Jika perbuatan bohong berlaku secara berleluasa, maka
akan hancur hidup bermasyarakat. Tiada lagi sikap saling mempercayai dan
keikhlasan. Tiada akan lahir lagi kesetiaan dan perkataan yang boleh
dipercayai.
Betapa buruknya kesan perbuatan berbohong. Jadi, jangan lagi ada orang
mengatakan dia melakukan tipu atau bohong sunat.
No comments:
Post a Comment