Islam hanya mengharuskan berbohong yang terpaksa dilakukan semata-mata
untuk tujuan kebaikan. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidaklah termasuk pendusta,
orang yang berusaha mendamaikan perselisihan antara manusia, dan menghasilkan
yang baik.” - (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari).
Dalam hadis diriwayatkan Muslim dari Ummu Kaltsum menjelaskan beliau
(Kaltsum) belum pernah mendengar adanya keringanan (diharuskan) dalam hal
pendustaan biarpun sedikitpun, kecuali dalam tiga perkara iaitu dalam hal
peperangan, mewujudkan perdamaian dalam masyarakat dan hubungan rumahtangga
untuk mengekalkan kebahagiaan.
Pembohongan dalam peperangan dibenarkan kerana ia strategi untuk memenangi
peperangan. Pembohongan dalam peperangan adalah adalah sebahagian perang saraf
atau tipu muslihat. Jika melakukan apa yang benar dalam peperangan, sukarlah
untuk menang, sebaliknya mudah pula dikalahkan oleh musuh.
Manakala situasi diharuskan berbohong berkaitan kepentingan masyarakat
ialah menyatakan sesuatu yang difikirkan akan mengelak perselisih faham atau
dengannya akan menyatukan semula pihak yang bertelingkah. .
Sesungguhnya mendamaikan dua pihak bertelingkah adalah satu tugas yang
perlu diusahakan dengan apa jua cara yang sesuai. Firman Allah bermaksud:
“Damaikanlah di antara saudara-saudaramu dan bertakwalah kepada Allah.” -
(Surah al-Hujurat, ayat 10).
Adapun berbohong atas tujuan mengelak persengketaan dalam rumahtangga
diharuskan kerana ia cara paling selamat dan berkesan. Namun, ia bukan bermakna
diharuskan sengaja mencipta pembohongan untuk melakukan sesuatu.
Pembohongan yang sengaja diada-adakan sekadar untuk mencari kebebasan melakukan
perkara ditegah adalah diharamkan. Hubungan suami isteri perlu diperkukuhkan
dengan perasaan jujur, berterus terang dan saling mempercayai.
Pembohongan hanya diharuskan apabila terlanjur melakukan sesuatu yang
difikirkan mencetuskan sengketa rumahtangga, maka diharuskan menutup apa telah
dilakukan itu seolah-olah tidak berlaku.
No comments:
Post a Comment