Friday, 26 June 2020

PELBAGAI JENIS RASA ETOK SALAI

Etok atau etak cukup terkenal di Kelantan. Rakyat Kelantan gemar makan etok sama ada yang disalai mahupun digulai atau digoreng bersama sayur.

Kalau dahulu, etok salai atau etok jemur hanya ada satu jenis iaitu rasa masim kerana diperap bersama garam dan rempah. 

Namun, sekarang ini macam-macam ada rasa etok salai seperti etok salai masim, etok salai manis, etok salai pedas, etok salai budu, etok salai tomyam, etok salai lemak berkeju dan macam-macam lagi.

Semua perisa itu adalah variasi mengikut citarasa peminatnya. Pembeli boleh memilih mengikut apa yang disukai.

Etak adalah sejenis hidupan cengkerang. Dikenali sebagai corbicula fluminea dalam bahasa saintifik, dulunya amat mudah didapati di sepanjang sungai di negeri Kelantan. Sebab itu, ia terkenal dan menjadi kegemaran rakyat Kelantan memakannya. 

Malah, hidupan tersebut turut menjadi sumber mata pencarian kebanyakan penduduk yang mendiami kawasan pinggir sungai kerana permintaan yang tinggi di pasaran. 

Jadi, etak dikatakan seperti hidupan sungai lain menyumbang kepada kegiatan ekonomi penduduk di sekitar tebing sungai. Kerja mencari etak atai 'ngokok etak' popular terutama di kalangan penduduk berhampiran Sungai Kelantan. 

Namun itu semua hanya tinggal sejarah. Kini etak sukar untuk ditemui di dasar sungai di Kelantan disebabkan pencemaran air sungai dan habitat etak yang diganggu oleh proses pembangunan.    

Etak yang masih banyak dijual di Kelantan sekarang ini dibawa dari sungai-sungai di negeri lain kerana tidak ada permintaan di tempat asalnya. 

Etak bukan sahaja dihidangkan dalam menu makanan seharian, malah etak salai dijadikan snek pada waktu bersantai bersama keluarga dan rakan. Rasa etak atau etok salai sangat enak.

Penggemar etak salai sanggup membelinya biarpun harganya kini semakin mahal dan sukar ditemui.

Etok menjadi identiti rakyat Kelantan. Pernah dulu di Pasir Mas terdapat deretan gerai khusus dibina pihak berkuasa tempatan untuk menjual etak yang cukup terkenal.

Etak sama seperti lala atau kepah, tetapi saiznya lebih kecil dan boleh dimasak bersama sayur, masak lemak dan masak rebus selain etak salai lebih popular. Cara masak etok amat mudah seperti hidupan bercengkeram lain.

Cara buat etak salai sangat ringkas kerana hanya melibatkan proses menggaul etak bersama rempah terdiri bawang putih, garam, jintan, serai, ajinomoto dan halia, sebelum disalai selama 15 hingga 30 minit dan kemudian sedia dimakan.

Etak disalai untuk mempecepatkan 'masak' sebelum dimakan. Kaedah lain penyediaan etak untuk dimakan ialah dijemur di panas terik selama beberapa hari.

Rasa masim dan rempah memang menyelerakan. Kepada mereka boleh pernah menikmati rasa etok salai dicadangkan mencubanya. Pasti anda terpikat dan akan meminatinya.

No comments:

Post a Comment