Monday, 12 October 2020

BEZA KAYU MANIS CASSIA DAN CEYLON CINNAMON

Kulit kayu manis menjadi rempah penting dalam masakan kerana memberi aroma yang menyelerakan, selain kaya khasiat. Tetapi tidak banyak orang tahu tentang jenis kayu manis. Pergi kedai minta sahaja kulit kayu manis tanpa menyedari terdapat jenis kulit kayu manis yang berbeza.

Dua jenis kulit kayu manis ialah cassia dan cinnamon. Kulit kayu manis cassia turut dikenali sebagai ‘Chinese cinnamon’ yang berasal dari selatan Negara China juga ditanam di beberapa Negara Asia seperti India, Indonesia, Laos, Malaysia, Taiwan, Thailand dan Vietnam. 

Manakala cinnamon adalah kulit kayu manis ‘Ceylon cinnamon’ yang berasal dari Sri Lanka.

Kedua-dua jenis kayu manis itu adalah dari ’family’ yang sama. Jadi, tidak banyak beza antara kedua-duanya. Untuk mudah faham, seperti buah durian yang ada banyak jenis. Setiap jenis atau nama ada keistimewaan berbeza dan harga pun tidak sama. Namun apapun jenis durian, ia tetap durian.

Kulit kayu manis cassia dan cinnamon mengandungi coumarin iaitu sejenis bahan semulajadi yang memberi perisa. Kandungan coumarin di dalam kulit kayu manis cassia adalah lebih tinggi berbanding cinnamon. Di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985, coumarin dibenarkan dalam rempah ratus tidak melebihi 10 mg/kg.

Berdasarkan penggunaan kulit kayu manis yang rendah dalam masakan dan hanya digunakan sebagai bahan rempah (bukan bahan utama) untuk memberi perisa dalam makanan di kalangan pengguna di Malaysia, kandungan coumarin di dalam kulit kayu manis cassia ataupun cinnamon tidak akan mendatangkan risiko kepada kesihatan. Ini kerana pada kebiasaannya hanya sedikit kulit kayu manis digunakan di dalam masakan.

Justeru, pengguna tidak perlu khuatir dengan tahap keselamatan penggunaan kulit kayu manis, tidak kira jenis cassia mahupun cinnamon.

Untuk maklumat pengguna, antara ciri perbezaan cassia dengan cinnamon ialah kayu manis jenis cinnamon Ceylon memiliki warna lebih terang dari kayu manis jenis cassia. 

Dari segi tekstur serbuk pula, cinnamon lebih halus dan lembut berbanding cassia. Manakala dari segi aroma, jenis cinnamon lebih lembut, harum dan menyenangkan ketika menghidunya. Perbezaan dari segi rasa pula, cinnamon tidak terlalu menyengat. 

Namun, dari segi khasiat kedua-duanya hampir sama. Tetapi, ramai memilih cinnamon berbanding cassia kerana ciri-ciri istimewa yang dimiliki.

Pun begitu, di pasaran jenis yang paling banyak ditemui ialah cassia. Amat jarang atau sukar untuk mendapatkan cinnamon di kedai-kedai. 

Penjual jarang menyimpan stok kerana pembeli tidak banyak membeli melainkan yang benar-benar ingin mendapatkan keistimewaannya. Ini kerana harga cinnamon lebih mahal berbanding cassia.

Tahukah anda, harga cinnamon berbanding cassia hampir 10 kali ganda! Sedangkan tidak ada banyak beza khasiat antara kedua-duanya, melainkan dari segi aroma dan rasa yang sekaligus memberi sedikit perbezaan dari segi kesesuaian penggunaannya.

Jadi, terpulang kepada pembeli memilih yang mana diingini. 

No comments:

Post a Comment