Berzakat
mempunyai ciri ibadat yang berbeza dengan Rukun Islam lain, yakni satu
perlaksanaan terhadap sesama manusia. Justeru, berzakat bukan saja memberi
kesan kepada pembayar zakat sebagai tanda keimanan, tetapi membawa
kesejahteraan kepada masyarakat.
Zakat
mempunyai dua fungsi, iaitu menghubungkan manusia dan Allah, dan manusia dengan
manusia. Hubungan dengan Allah terlaksana kerana perlu dilakukan dengan
ketakwaan dan keimanan. Sedangkan zakat yang dikeluarkan membentuk hubungan
sesama manusia.
Justeru,
zakat mempunyai kaitan rapat dengan sistem ekonomi, sosial, akhlak dan
kemasyarakatan. Kepentingan zakat memberi sumbangan besar kepada keharmonian
dan kesejahteraan umat Islam.
Seruan
berzakat perlu disahut dengan rasa keimanan. Setiap Muslim yang cukup syarat
wajib zakat mesti melaksanakannya. Berzakat ialah mengeluarkan pemilikan berupa
hasil pendapatan, ternakan, tanaman, simpanan, perniagaan dan bahan logam.
Hakikatnya,
pemilikan harta hanya sementara yang dipinjamkan oleh Allah kepada manusia
untuk diuruskan mengikut hukum syariat, termasuklah mengeluarkan zakat. Orang
beriman menjaga rezeki diperoleh dengan rasa bersyukur dan melaksanakan suruhan
Allah.
Berzakat
cara membersihkan diri daripada sikap bakhil dan cintakan dunia melebihi
akhirat. Sikap bakhil sebenarnya menafikan kelebihan dijanjikan Allah terhadap
orang yang bersifat pemurah.
Firman
Allah bermaksud: “Oleh itu bertakwalah sedaya upaya kamu, dan dengarlah
(pengajaran-Nya) serta taatlah (perintah-Nya), dan belanjalah harta kamu (serta
berbuatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga
serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi tabiat bakhil, merekalah orang
yang berjaya.” (Surah al-Taghabun, ayat 16).
Orang
tidak berzakat menanggung dosa selagi bahagian zakat yang wajib tidak
dikeluarkan. Menangguh mengeluarkan zakat bermakna terus menanggung dosa.
Golongan
yang layak menerima zakat ditentukan berdasarkan bahawa mereka amat memerlukan
bantuan untuk meringankan masalah yang sedang dihadapi. Islam amat mementingkan kehidupan yang lebih
baik dan sempurna bagi setiap orang.
Firman
Allah bermaksud: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanya tertentu untuk orang
fakir, miskin, amil, mualaf yang dijinakkan hatinya dan hamba yang ingin
membebaskan diri (diberi peluang membebaskan diri oleh tuannya, tetapi tidak
mampu), orang yang berhutang (tidak mampu menjelaskannya), orang berjuang di
jalan Allah dan orang musafir (kehabisan bekalan) dalam perjalanan, sebagai
kewajipan fardu yang ditetapkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha
Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 60).
Suruhan
mentauhidkan Allah, melakukan sembahyang dan seterusnya mengeluarkan zakat
dirangkai bersama-sama dalam beberapa ayat al-Quran. Sesiapa yang mengaku
beriman, maka hendaklah melaksanakan perintah berzakat.
Sesiapa
enggan mengeluarkan zakat menjadi tanda ketakwaan dan keimanannya belum teguh
dan kuat untuk menghadapi ujian. Sesungguhnya, ramai yang gagal ujian berkaitan
dengan harta benda.
Syaitan
sentiasa menghasut manusia agar cintakan dunia dan benci melakukan kebaikan. Syaitan
sentiasa membisikkan kepada manusia bahawa bersedekah dan berzakat akan
mengurangkan harta yang dimiliki dan hanya menguntungkan penerimanya.
Firman-Nya
bermaksud: “Syaitan menakut-nakutkan kamu, kalau-kalau kamu akan menjadi miskin
dan menyuruh kamu melakukan kejahatan.” (Surah al-Baqarah, ayat 268).
Allah
berfirman lagi: “Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup
serta mendustakan pahala yang baik (syurga), maka Kami akan menyediakan baginya
(jalan) yang susah. Dan apabila dia telah binasa, hartanya tidak akan
bermanfaat baginya.” (Surah al-Lail, ayat 8 - 11).
No comments:
Post a Comment