Friday 19 February 2021

WATERMELON BUKIT LARUT

Bukit Larut merupakan kawasan reakreasi tanah tinggi di negeri Perak. Bukit Larut atau dahulunya dikenali Bukit Maxwell sempena residen British ketika itu iaitu George Maxwell pada 1880. Suhu pada hari siang ialah di antara 15 hingga 25 darjah Celsius dan boleh mencecah 10 darjah Celsius pada waktu malam.

Perjalanan ke atas Bukit Larut melalui jalan sempit yang terdapat 72 selekoh berliku tajam di lereng bukit. Ketinggian Bukit Larut ialah 1,200 meter. Kawasan ini merupakan kawasan tanah tinggi yang paling basah di Malaysia. Hampir setiap hari pada waktu petang, hujan bukit turun di kawasan ini.

Bukit Larut kini menjadi antara destinasi bagi penggemar hiking. Mereka boleh memilih laluan bertar atau laluan trek tanah.

Jarak hiking dari kaki bukit hingga ke Ladang Teh yang berketinggian 656 meter ialah kira-kira 6 kilometer. Sepanjang hiking terdapat beberapa tempat pemeriksaan atau tempat rehat.

Antara tempat rehat itu ialah Pondok 1, Pondok 2, Pondok 3 dan Watermelon. Tidak pasti pula mengapa nama watermelon digunakan. Mengapa tidak sahaja menggunakan nama ‘tembikai’. Kalau Bukit Maxwell ditukar kepada Bukit Larut, mengapa tidak tukar ‘watermelon’ kepada ‘tembikai’ atau nama-nama lain bercirikan Malaysia.

No comments:

Post a Comment