Monday, 15 February 2021

ASAM RONG BIJI GETAH PENYEDAP RASA

Biji getah ialah biji yang dihasilkan dari pokok getah yang matang. Biji getah ini berbentuk bulat dan lonjong. Warnanya bergantung kepada spesis pokok getah itu ada yang berwarna coklat, hitam, merah-kemerahan, berjalur hitam dan putih.

Saiz biji getah ini juga mengikut baka pokok tersebut ada yang kecil dan ada yang besar kebiasaanya dalam lingkungan 20 mm hingga 35 mm. Kulit di bahagian permukaannya keras, licin dan nipis dan mempunyai tertulang di bahagian belakang biji getah ini. Isinya bewarna putih dan ia lembut serta kenyal.

Biji getah ini akan gugur sendiri ke bumi apabila buah "meletup". Biji getah yang gugur ke bumi boleh mengeluarkan tunas dan boleh menjadi baka anak pokok getah yang baharu.

Biji getah menjadi satu alat permainan kanak-kanak semasa dahulu untuk bermain laga buah getah. Ia juga dijadikan buah congkak. Selain itu, biji getah juga sering dijadikan peluru untuk lastik.

Selain itu biji getah juga digunakan sebagai makanan dengan diperam atau dikenali sebagai asam rong.

Asam rong termasuk dalam kategori makanan tradisional. Tetapi perlu pelajari bagaimana caranya biji getah itu menjadi bahan ramuan dalam masakan sehingga menjadi juadah digemari ramai. 

Hidangan dengan campuran asam rong biji getah ini cukup popular dan menjadi resipi turun temurun penduduk Jerantut, Pahang. 

Asam rong biji getah ini apabila dicampurkan dalam pelbagai jenis masakan mampu menghasilkan rasa dan aroma yang boleh mengecurkan air liur. 

Perkataan asam adalah disebabkan cara menyimpannya iaitu diperam dalam tempoh waktu tertentu, manakala rong pula merujuk bahagian isi dalam buah getah yang juga dipanggil rong.

Asam rong ini rasanya sedikit pahit kerana diperam untuk satu tempoh yang agak lama. Berbulan-bulan juga disimpan untuk mendapatkan rasa asam sebenar.

Untuk mendapatkan isi biji getah, ia perlu dipecahkan kulitnya. Cara pecahkan dengan menggunakan batu lesung atau apa-apa yang keras seperti kayu, tungkul dan batu.

Isi biji getah berwarna putih, lembut dan kenyal akan dijemur selama lima hingga tujuh hari sehingga kering untuk menanggalkan selaput kulit daripada rong dan menjadi kecut sepenuhnya.

Setelah kering biji getah tadi ditumbuk tetapi tidak terlalu hancur. Selepas ditumbuk, ia akan diramas bagi mengeluarkan minyak biji getah. Jika tidak dikeluarkan minyak biji getah, asam rong yang dihasilkan kurang sedap dan berbau tengik bila disimpan lama.

Proses seterusnya ialah biji getah yang telah ditumbuk dan diperah itu akan diperam di dalam bekas tertutup seperti tempayan atau balang dan disimpan di tempat kering bagi mengelak berkulat dan rosak. 

Kebiasaanya asam rong ini boleh bertahan dalam tempoh beberapa bulan untuk menghasilkan rasa kelat-kelat lemak yang enak.

Selepas disimpan lama dan cukup tempoh, barulah asam rong digunakan sebagai penambah rasa dalam masakan.  

Teksturnya yang kering berderai menjadikan ia bahan perencah serba guna yang boleh diubah suai mengikut pelbagai jenis masakan. 

Ia boleh dicampurkan ke dalam sayuran goreng, gulai, asam atau sambal bergantung kepada selera si pembuat. Selain itu ia juga dijadikan sambal dan dimakan dengan pelbagai ulaman.

Asam rong yang siap diproses boleh dijual pada harga antara RM30 hingga RM35 sekilogram.


No comments:

Post a Comment