Tuesday, 16 August 2022

KEISTIMEWAAN BUAH BELIMBING BULUH

 
Salah satu tumbuhan yang terdapat di laman rumah orang kampung ialah belimbing buluh. Belimbing buluh (Averrhoa bilimbi) atau juga dipanggil sebagai belimbing asam.

Selain bertujuan untuk mendapatkan buahnya, pokok belimbing buluh ditanam oleh orang dahulu di laman rumah sebagai sebahagian pokok hiasan. Pokoknya tidak tinggi sangat.

Mudah dijumpai di kawasan kampung dan kawasan perumahan kerana pokok ini mudah ditanam dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Jadi ia sesuai ditanam di laman rumah.

Buah belimbing buluh adalah berbentuk kecil dengan bentuk bulat selinder atau seakan bersegi panjang dengan warna hijau muda ketika muda dan sedikit kekuningan apabila telah matang.

Buah blimbing ini jarang dimakan segar kerana rasanya terlalu masam, kecuali mereka yang minat rasa masam dan dimakan dengan colek atau pencicih. Sebaliknya ia sesuai untuk dijadikan bahan penyedap rasa masakan. Ia dicampurkan dalam masakan ikan kari asam pedas dan udang lemak kuning untuk menghasilkan rasa masam dan manis (dicampur dengan gula).

Belimbing buluh juga dicampur dalam masakan untuk menghilangkan rasa atau bau hanyir, terutama masakan ikan darat (ikan air tawar). Ia juga dijadikan campuran dalam membuat sambal.

Belimbing buluh juga dijadikan produk makanan dan kudapan. Antara produk dari buah belimbing buluh yang terkenal ialah sambal hitam. Sambal hitam amat terkenal di Pahang, terutama di daerah Lipis. Rasanya yang unik menjadikan ia pilihan ramai.

Belimbing buluh juga boleh dijadikan hidangan kudapan apabila direbus sehingga buah menjadi kecut atau seakan-akan kismis. Rasanya juga menjadi macam kismis. Rasa masam telah hilang melalui proses osmosis.

Memang elok buah belimbing buluh dijadikan asas kepada produk lain agar buah itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Kalau hendak makan segar, tidak ramai yang meminatinya.

Pokok belimbing buluh berbuah sepanjang tahun. Jadi, tidak sukar untuk mendapatkan buah belimbing buluh.

Makan buah belimbing buluh memberi kebaikan untuk mengurangkan kadar tekanan darah tinggi, kencing manis dan pitam.

Antara khasiat belimbing buluh;
- Daunnya apabila digiling halus dan dilumur boleh menghilangkan jerawat dan melembutkan kulit di muka, sakit-sakit sendi serta panau.
- Jika direbus, ia boleh mengubati batuk, menurunkan tekanan darah tinggi dan pitam. Untuk menghilangkan batuk, campurkan segenggam bunga belimbing buluh dengan sedikit jus pegaga yang telah ditumbuk, 2 biji bawang merah dan 1 batang kulit kayu manis sebesar jari kelingking. Seterusnya direbus dan ditapis air rebusan itu. Kemudian minum dengan mencampurkan sedikit madu. Minum segelas, 3 kali sehari.
- Untuk anda yang ada darah tinggi, petik 3 biji buah belimbing buluh. Potong kecil-kecil dan rebus. Minum air rebusannya selepas sarapan pagi setiap hari.
- Untuk bayi yang diserang penyakit kuning, mandikan dengan air rebusan daun belimbing untuk meredakannya.




No comments:

Post a Comment