Wednesday 26 October 2022

WANITA PENGGERAK POLITIK AKAR UMBI

 
Wanita memang hebat. Kalau buat sesuatu akan diusahakan bersungguh-sungguh. Hak yang ada akan dipertahankan. Biar putih tulang, jangan putih mata. Kalau tidak dapat, biar sama-sama tidak dapat. Begitulah punca kejayaan wanita dalam politik. Mereka istiqamah dan sanggup melakukan sesuatu yang dirasakan dapat membantu parti biarpun nampak janggal atau tidak sesuai.
 
Sejarah penglibatan wanita dalam parti bermula seawal gerakan menentang cadangan penubuhan Malayan Union pada 1945 melalui UMNO. Wanita yang sebelum ini lebih tertumpu pada pertubuhan berunsurkan kebajikan telah turut terlibat buat pertama kalinya secara terbuka dalam gerakan politik tanah air.
 
Tiga tokoh wanita iaitu Putih Mariah Ibrahim Rashid dari Persatuan Melayu Perak, Zainab Abdul Rahman dari Persatuan Melayu Seberang Perai dan Salena Ali dari Persatuan Melayu Selangor telah bertemu bagi membincangkan mengenai penubuhan sebuah pergerakan wanita Melayu. 
 
Ekoran pertemuan itu UMNO telah menubuhkan Jabatan Kaum Ibu pada 1947 dengan Putih Mariah dilantik sebagai ketuanya yang pertama. Setahun kemudian Jabatan Kaum Ibu diperbesarkan menjadi Pejabat Setiausaha.
 
Pada 25 Ogos 1949, bertempat di Butterworth, UMNO telah mengadakan Perhimpunan Agung Wakil Wanita dari bahagian-bahagian UMNO bagi menubuhkan satu badan yang dinamakan Ahli-ahli Perempuan UMNO (APU) yang dianggap sebagai pertubuhan politik rasmi pertama untuk wanita di negara kita dengan Putih Mariah sebagai ketuanya.
 
Setahun kemudian kepimpinan APU diterajui Tan Sri Zainun Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain. Di bawah kepimpinannya, APU telah menambah ahli dan jumlah cawangannya. Beliau telah menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air bersama sekeping peta Tanah Melayu dan sehelai bendera UMNO di tangan, untuk memberi penerangan mengenai politik dan kemerdekaan.
 
Pada 1956 nama APU ditukar kepada Pergerakan Kaum Ibu UMNO. Fatimah telah dipilih menjadi ketua dalam Perhimpunan Agung UMNO pada 1957 dan beliau menerajui Pergerakan itu hingga 1972. Pada Ogos 1971, UMNO mengadakan Persidangan Agung Khas bagi mengatur corak perjuangan UMNO. Perlembagaan UMNO telah dipinda dan Pergerakan Kaum Ibu telah ditukar namanya kepada Pergerakan Wanita UMNO bagi melambangkan imej dinamik.
 
Menyedari perkara itu, kepimpinan parti membuka peluang untuk mengetengahkan calon wanita dalam pilihan raya. Parti Perikatan yang disertai UMNO, MCA dan MIC meletakkan calon wanita pada pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan pada 1955 iaitu Halimahton Abdul Majid. Pada PRU pertama 1959, Perikatan mengemukakan dua calon wanita iaitu Tan Sri Zainun Sulaiman dan Tun Dr Fatimah Hashim.
 
Tun Dr Fatimah dilantik menjadi wanita pertama dilantik menjadi menteri kabinat sebagai Menteri Kebajikan pada 20 Mei 1969. Sejak saat itu, Malaysia tidak pernah ketinggalan melantik wanita sebagai menteri kabinat.

No comments:

Post a Comment