Tuesday, 22 November 2022

PEMIMPIN WAJIB BERUSAHA BANTU RAKYAT

 
Pemimpin wajib berusaha membantu rakyat. Pemimpin yang dimaksud di sini bukan terhad kepada individu bergelar perdana menteri dan menteri besar sahaja. Semua peringkat kepimpinan ada tanggungjawab masing-masing. Menjadi penghulu dan ketua kampung ada tanggungjawab yang perlu dilakukan.
 
Peringatan tentang tanggungjawab seorang pemimpin ada dijelas dalam hadis. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak seorang pemimpin pun yang mengurus perkara kaum muslimin, kemudian dia tidak bersungguh-sungguh bekerja untuk mereka dan menasihatinya, kecuali dia pasti tidak akan masuk syurga bersama mereka'." (Hadis riwayat Muslim No: 205) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran hadis:
- Setiap pemimpin bertanggungjawab bekerja bersungguh-sungguh memberi khidmat dan memberi nasihat untuk mereka yang berada di bawah kepimpinannya.
- Sebagai pemimpin, perlu sentiasa memikirkan bahawa seluruh tanggungjawab dan amanah yang dipikul akan dihisab oleh Allah SWT satu persatu secara terperinci di akhirat kelak.
- Pemimpin perlu bersungguh-sungguh menjaga kebajikan, keperluan, kasih sayang, keselamatan, keselesaan dalam kalangan kakitangan atau rakyat yang dipimpin, bukannya penyokong yang memilihnya sahaja.
- Rasulullah SAW memberi amaran kepada pemimpin yang tidak bersungguh-sungguh bekerja mengurus rakyat di bawah kepimpinannya dengan tiada jaminan syurga.
 
Saidina Umar Ibnu Khattab RA pernah menyatakan: " Andainya seekor kambing berjalan mencari makan dari Madinah ke Kufah dan patah kakinya dipinggir Sungai Dajlah lalu mati lantaran jalannya rosak, aku takut Allah SWT akan mempertanggungjawabkan ke atas aku di akhirat kelak."
 
Bagi mereka yang dilantik sebagai pemimpin tidak kira diperingkat mana pun, seperti menteri, wakil rakyat, pegawai kerajaan dan lain-lain, anda wajib melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan bersungguh-sungguh.
 
Tunaikan tanggung jawab dan amanah yang diberi mengikut tahap kepimpinan masing-masing sebaik mungkin.
 
Sebagai pemimpin, jangan salahkan pihak lain jika gagal melaksanakan tanggungjawab, sebaliknya muhasabah diri sendiri. Kalau tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik, elok letak jawatan dan berikan kepada orang lain yang lebih layak.  

No comments:

Post a Comment