Saturday 3 December 2022

SOKONGAN SELEBRITI AGAMA BANTU KEJAYAAN PAS

 
Terdapat banyak faktor utama menyumbang kemenangan PAS pada PRU15, namun antara sebab utama adalah sokongan secara langsung tanpa selindung selebriti agama terkenal tanah air kepada PAS.
 
Secara praktiknya, selebriti agama sering mengelak dikaitkan dengan mana-mana parti politik, terutama PAS. Ini adalah kesan daripada kegusaran dalam kalangan 'asatizah' atau pendakwa ini akan natijah 'digam' daripada memberi kuliah atau tampil ke khalayak umum jika diketahui mereka cenderung kepada parti politik tertentu.
 
Selain itu, seruan pihak berkuasa agama supaya pendakwah tidak membawa perihal politik ke dalam masjid menyebabkan tokoh agama memilih berbicara soal ibadah semata-mata.
 
Perkembangan mutakhir ini menyaksikan kemunculan ramai selebriti agama dan mereka aktif di media sosial serta mempunyai jumlah pengikut sangat ramai.
 
Kuliah mereka dijadikan bahan video pendek berdurasi kurang lima minit dan dimuat naik di laman sosial seperti Facebook dan TikTok. Video ini kemudian disebarkan pengguna media sosial menjadikan capaian kuliah lebih meluas dan melebar.
 
Dengan cara ini, ilmu mereka berjaya disampaikan sampai kepada penonton dengan berkesan tanpa perlu hadir secara fizikal ke majlis ilmu berkenaan.
 
Metodologi ceramah bersifat ringan, tidak menghukum dan menjawab persoalan amal ibadat serta perhubungan seharian sememangnya dicari masyarakat.
 
Ini amat berbeza dengan pendekatan diguna pakai 'ustaz, ustazah' pro-PAS pada dekad 80-an hingga 2000 yang keras dan bersifat menghukum serta metodologi tidak mesra pendengar baru berjinak dengan agama Islam. Ini antara punca PAS ditolak sebahagian masyarakat di luar Pantai Timur ketika itu.
 
Teori Identiti Sosial menjelaskan sifat semula jadi manusia mempunyai tarikan kepada perkara membawa wacana ketuhanan, walau individu terbabit jauh dengan kehidupan beragama.
 
Pengikut selebriti agama di Malaysia sekarang bukan individu taat beragama sahaja, malah melepasi garis kumpulan ekonomi, sektor pekerjaan dan umur.
 
Berbeza dengan dekad terdahulu, kumpulan berpendapatan rendah, bekerja di sektor pertanian dan berusia lebih cenderung mendekati ustaz dan ustazah.
 
Realiti sekarang, golongan T20, usahawan, selebriti media sosial, seniman, pesara dan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi pengikut kepada selebriti agama ini.
 
Dalam konteks PRU15, selebriti agama berpengaruh dan terkenal di media sosial tanpa berselindung menyatakan sokongan mereka dan menyeru pengundi supaya menyokong PAS/PN. Manakala terdapat juga di kalangan mereka secara berkias mengajak jutaan pengikut mereka menyokong parti bernuansa Islam menjanjikan Malaysia bersih dan stabil.
 
Mereka secara jelas atau berlapik menyeru pengikut jangan mengundi calon parti menolak Islam, parti lunak terhadap amalan rasuah dan calon bukan daripada jaluran ahli Sunah wal Jamaah.
 
Seruan mereka ini disebar secara meluas dan sampai kepada semua lapisan pengundi melalui saluran media sosial terutama TikTok. Pengundi Muslim atas pagar yang tidak mempunyai kerjasama parti politik terpesona dengan seruan asatizah ini.
 
Atas dasar menumpang keberkatan ilmuwan agama ini, tidak hairan ramai pempengaruh media sosial tersohor, hatta yang kelihatan tidak begitu Islamik latar belakangnya, menyatakan sokongan kepada PAS/PN melalui video di TikTok.
 
Ditambah tohmahan Islam dan Melayu terancam sepanjang 22 bulan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dan kes rasuah berprofil tinggi dalam kalangan pimpinan BN, pengundi Melayu Islam atas pagar tiada pilihan lain dan memilih mengundi PN.
 
Jelas, sokongan selebriti agama kepada PAS/PN menjadi antara faktor utama membawa kepada peningkatan jumlah undi berlipat ganda kepada PAS/PN sehingga menafikan peluang BN untuk bangkit seperti pada PRN Melaka dan Johor.
 
Sumber – https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/11/1033319/pengaruh-pendakwah-selebriti-pro-pas-tarik-pengundi-sokong-pn

No comments:

Post a Comment