Sunday, 19 January 2025

KAPAL HAMPIR KARAM BERJAYA DISELAMATKAN

 
Alkisahnya, sekumpulan binatang menaiki kapal menyertai pelayaran di lautan luas. Sebelum pelayaran bermula, satu pertandingan pemilihan kepimpinan telah dibuat.
 
Jawatan ketua juragan dan penolong tiada pertandingan. Maknanya tiada pertandinganlah. Itupun kerana penyandang ketua juragan ketika pelayaran sebelum itu menarik diri.
 
Namun, untuk jawatan-jawatan lain dalam kapal yang besar itu berlaku pertandingan. Selesai pemilihan dan masing-masing sudah ada tugas, maka berlayarlah kumpulan binatang ini.
 
Binatang yang baru pertama kali belayar, memang teruja berada di dalam kapal. Sebelumnya tidak terfikir berpeluang berada dalam kapal itu.
 
Namun, kegembiraan itu mula dicemari sikap dengki. Ada yang mula merancang untuk menjatuhkan yang lain ke laut. Macam-macam tipu helah digunakan. Politik dan perancangan licik digunakan.
 
Binatang di dalam kapal mula berpecah kepada beberapa kumpulan kecil. Juragan berusaha untuk mengawal pergerakan penumpang kapal. Mana-mana yang pergi bertemu ketua lain akan dianggap durhaka atau tidak menyokongnya.
 
Keadaan itu sudah tentu menimbulkan ketegangan hubungan. Penumpang kapal serba salah untuk memilih yang mana, sedangkan kedua-duanya adalah juragan, bezanya hanya status jawatan.
 
Laut tidak selalunya tenang, gelombang datang tiba-tiba. Apapun nasib kapal dan seluruh penumpangnya bergantung kepada kebijaksanaan juragan.
 
Namun, juragan yang dipengaruhi orang sekelilingnya mengambil keputusan mengejutkan apabila mengambil keputusan meningggalkan kapal dengan belayar bersama-sama penyokongnya menggunakan kapal kecil.
 
Kejadian juragan meninggalkan kapal memang jarang berlaku. Bahkan, dalam tatakelola pelayaran, jurangan adalah individu paling akhir meninggalkan kapal walaupun dalam keadaan kapal hampir karam.
 
Banyak kes berlaku, demi menjaga kapal, juragan sanggup karam bersama-sama kapal, sedangkan penumpang lain berjaya menyelamatkan diri berpindah ke kapal lain.  
 
Laksamana mengetahui perkara itu, lalu mengarah segera penolong juragan agar mengambil alih peranan sebagai juragan. Biarpun dalam keadaan gelombang mengganas, akhirnya kapal selamat sampai di pelabuhan biarpun banyak kerosakan berlaku.
 
Laksamana yang menunggu di pelabuhan segera bertemu dengan semua penumpang yang selamat dan mengucapkan tahniah kepada juragan baharu, juga memuji segala yang lain sudi kekal berada di dalam kapal.
 
Bahkan, laksamana menzahirkan rasa bangga apabila binatang lain yang tidak menyertai pelayaan, tetapi hadir sama-sama di pelabuhan tanda sokongan kepada juragan baharu.
 
Tentang bekas juragan bersama penyokongnya, tiada siapa tahu untung nasibnya.  
 
Gambar sekadar hiasan.




No comments:

Post a Comment