Wednesday, 25 February 2026

PENYANYI LAGU MUZIK BERBUKA PUASA

 
Sikap skeptikal orang Melayu apabila dikaitkan dengan irama padang pasir atau berkaitan Arab, maka itulah "Islam". Mereka tidak faham di sebalik yang berbentuk kearaban, sebenarnya tiada kaitan dengan ketuhanan atau keislaman.

Begitulah tentang irama muzik yang dimainkan di radio pada masa dahulu, dan terkadang-kadang sekarang, setiap kali hampir berbuka puasa. Irama muzik tersebut menjadi kenangan generasi dahulu.

Irama itu sebenarnya adalah muzik dari lagu Al bint el Shalabiya yang memuji kecantikan wanita bernama Shalabiya dan rasa cinta yang mendalam.

Lagu ini terkenal dengan lirik romantis yang memuji kecantikan seorang gadis dengan mata badam. Ia dikaitkan dengan warisan muzik Arab tradisional.  

Lagu tersebut dinyanyikan oleh Fairouz, seorang penyanyi asal Lubnan yang terkenal pada era akhir 1950-an. Lagu tersebut ciptaan Assi Rahbani, suami kepada Fairouz.

Lagu ini juga dikenali sebagai melodi rakyat dari wilayah besar Syria sebelum kawasan itu berpecah menjadi negara-negara autonomi.

Fairouz dilahirkan dan dibesarkan di Beirut pada 21 November 1934 dalam keluarga beragama Kristian. Nama asalnya Nouhad Wadie' Haddad.

Dia memulakan kerjaya muziknya sebagai ahli korus di Stesen Radio Lubnan. Pada akhir 1950-an, bakatnya sebagai penyanyi telah diakui sepenuhnya.

Lagu-lagu awal Fairouz menampilkan timbre vokal nyanyian yang unik serta lirik yang mengungkapkan cinta romantis dan kerinduan terhadap kehidupan kampung.

Mereka bersatu dengan gabungan orkestra yang halus di mana beberapa alat muzik Arab menonjol tetapi turut menyerap dengan halus alat muzik Eropah dan rentak tarian popular Eropah.

Dia juga kadang-kadang menyanyikan adaptasi lagu rakyat Arab. Menjelang awal 1960-an, Fairouz sudah menjadi salah satu tarikan utama di Festival Baalbeck tahunan dan seorang selebriti bukan sahaja di Lubnan tetapi di seluruh dunia Arab.

Penyebaran ratusan lagu, banyak teater muzik dan beberapa filem telah meluaskan penonton beliau untuk merangkumi orang Arab yang tinggal di Eropah dan Amerika. 

https://www.youtube.com/watch?v=H8Es9UDJVq0

No comments:

Post a Comment