Thursday 19 July 2018

MUSLIM TIDAK BOLEH MENJAGA AGAMA LAIN

Satu perkara dalam Maqasid Syariah adalah menjaga agama. Agama yang dimaksudkan adalah agama Islam. Setiap mukmin perlu menjaga agama Islam dalam setiap perkara. Sekiranya kedudukan Islam diancam, maka wajib untuk berjihad mempertahan Islam. Tidak menjadi polimik dalam soal tanggungjawab setiap mukmin berjuang dengan sepenuh upaya untuk mempertahankan Islam.

Bagaimana ada pendapat mengatakan menjaga agama juga merangkumi semua agama? Umat Islam tidak dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan agama lain. Urusan agama adalah tanggungjawab penganut agama berkenaan.

Dalam konsep pemimpin negara, yang perlu dijaga ialah rakyat, termasuk penganut agama lain. Penganut agama lain bebas mengamalkan agama mereka. Mereka perlu dilindungi dalam memastikan amalan beragama dapat dilakukan dengan aman. Bahkan, jika ada ancaman terhadap rumah ibadat bukan Islam, maka tanggungjawab kerajaan Islam untuk menyelamatkan agar tidak berlaku kerosakan atau kemusnahan.

Dalam konsep itu, kerajaan bukan menjaga agama itu, tetapi menjaga keselamatan sesuatu yang dipunyai oleh rakyat bukan Islam dan mengelak keadaan yang akan mencetuskan huru-hara yang pastinya mendatangkan kemudaratan kepada seluruh rakyat. Islam membawa rahmat kepada seluruh alam.

Penganut Islam dan pemimpin Islam tidak boleh mengiktiraf dan menjaga agama lain. Satu-satunya agama yang diiktiraf dan diterima sebagai anutan adalah agama Islam. Apa yang diiktiraf oleh Islam ialah hak penganut agama lain dalam hal berkaitan dengan amalan agama mereka. Islam melarang umatnya mencaci atau menghina sembahan penganut agama lain.

Jadi, tidak perlu pemimpin Islam menjaga agama lain. Apa perlu dijaga adalah hak penganut agama lain yang juga menjadi rakyat di negara Islam. Perkara itu nampak sama namun berbeza.

Sepertimana orang Islam tidak boleh mengatakan semua agama sama. Kalau mengatakan semua agama sama, itu bermaksud kita mengiktiraf agama lain sama dengan agama Islam Itu sudah boleh merosakkan akidah. Apa yang boleh diucapkan ialah semua agama mengajar melakukan kebaikan. Kebaikan agama lain tidak sekali-kali lebih baik daripada apa yang dibawa oleh Islam. Islam adalah peraturan yang ditetapkan sendiri oleh Allah Maha Pencipta dan hanya Islam yang dianggap sebenar-benar agama untuk dijadikan panduan hidup untuk seluruh manusia.

Perlu diketahui bahawa prinsip tidak mencela agama lain, tidak memaksa orang lain untuk memeluk mana-mana agama dan tidak mengganggu penganut agama lain adalah ajaran Islam. Berbuat baik kepada penganut agama lain adalah tuntutan Islam dan itulah antara ruang dakwah untuk mengajak manusia memeluk agama Islam tanpa paksaan.

Berbuat baik kepada penganut agama bukan Islam bukan bermakna menjaga agama lain. Sama seperti kita berbuat baik kepada bukan ahli keluarga kita bukan bermakna kita menjaga keluarga orang lain. Tidak menjadi tanggungjawab kita menjaga ahli keluarga orang lain. Namun, kita perlu menolong ahli keluarga orang lain jika mereka memerlukan pertolongan. Begitu juga kita tidak boleh mengganggu hak keluarga orang lain.

Tidak perlu orang Islam fikirkan hendak menjaga agama lain. Cukuplah menjaga agama sendiri agar seluruh penganut agama Islam mengikuti ajaran Islam dengan sebenarnya-benarnya. Jika sudah terbina pekerti muslim, maka tidak sekali-kali akan wujud sikap menyalahi peraturan agama, termasuk dalam soal menjalin hubungan dengan penganut agama lain. Islam membawa rahmat kepada seluruh alam.

No comments:

Post a Comment