Monday, 16 July 2018

KAEDAH MANTIK MEMBANTU MEMBUAT KEPUTUSAN TEPAT

Organ penting dalam diri manusia ialah otak. Otak berada dalam dua bentuk yakni secara fizikal yang dinamakan otak dan secara rohani dipanggil minda, akal atau fikiran. Otak  dalam bentuk fizikal tidak ada bezanya dengan apa yang dimiliki oleh haiwan yang berperanan untuk mengkordinasikan fungsi organ badan dan tindakbalas spontan berdasarkan kebiasaan.

Bezanya otak manusia berbanding haiwan ialah pada akal. Melalui akal, manusia mampu menerima segala ilmu yang berbentuk teori serta mampu untuk menyusun idea-idea. Akal dalam bentuk ini merupakan asas utama kepada fikiran manusia. Lantaran itu, akal yang bersifat positif  jika digunakan untuk kebaikan akan menjadikan seseorang itu mulia dan berjaya dalam apa jua perkara yang ingin dilakukan.

Sebaliknya, akal yang membawa manusia kepada keburukan akan meletakkan manusia lebih hina berbanding haiwan. Kesesatan manusia disebabkan mereka menggunakan akal  diarahkan untuk tujuan negatif  yang menyebabkan mereka binasa dan hina. Mereka berfikir bagaimana ingin melakukan perkara yang mendatangkan keburukan kepada diri sendiri dan orang lain. Biasanya, kesan buruk kepada diri sendiri dilakukan tanpa sedar atau kerana terpengaruh ajakan kawan sehingga tidak dapat melepaskan diri daripada perbuatan itu.

Terdapat falsafah atau seni berfikir yang dinamakan logik atau dikenali di kalangan ilmuan Islam sebagai mantik. Kaedah berfikir secara logik telah muncul sejak kurun ke 5 Sebelum Masihi di Yunani. Antara tokoh awal ilmu logik ialah Socrates, Plato, Aristotles dan banyak lagi.

Kaedah pemikiran logik pada ketika itu banyak digunakan dalam seni bahas dan pidato, selain mencari penyelesaian isu dan keperluan semasa. Aristotles terkenal sebagai “Bapa Logik” yang menjadikan beliau ahli falsafah terkenal sehingga sekarang. Beliau adalah orang pertama yang membentangkan cara berfikir yang teratur dalam suatu sistem.

Ilmu mantik atau logik iaitu suatu ilmu yang membahaskan tentang pemikiran dan apa yang tergambar dalam akal pemikiran manusia supaya diterjemahkan menjadi teori yang benar dan mengelak dari berfikir yang salah. Ilmu mantik sering disebut ibu segala ilmu atau dikatakan ilmu dari segala yang benar.

Dengan tuntasnya, mantik diibaratkan suatu yang membicarakan tentang kaedah-kaedah yang dapat memandu manusia ketika berfikir dan mereka melahirkan pemikiran bersesuaian dengan ucapan serta dapat menapis maklumat-maklumat yang diterima sama ada sah atau tidak sah.

Di antara manfaat ilmu mantik ialah membuat daya pemikiran seseorang lebih tajam tetapi lebih berkesan melalui latihan-latihan berfikir dan menganalisis serta mengungkap permasalahan secara ilmiah.

Membuat seseorang menjadi mampu meletakkan sesuatu pada tempatnya dan mengerjakan sesuatu pada waktunya. Ilmu mantik juga membuat seseorang mampu membezakan antara yang baik dan buruk.

Dengan mempelajari ilmu mantik juga menjadikan seseorang bijak berfikir dan mempunyai hujah tersendiri untuk berdebat serta membidas kata-kata yang tidak masuk akal dan tidak mudah diperbodoh-bodohkan atau diperkotak-katikkan oleh individu lain sekiranya pada dirinya mempunyai ilmu mantik.

Ilmu mantik menekankan penggunaan akal logik iaitu manusia menggunakannya untuk mencari petunjuk serta kebenaran seterusnya memilih mana yang baik untuk diikuti serta menjauhi dan meninggalkan perkara buruk.

Walaupun manusia mempunyai akal dan sentiasa menggunakannya, sama ada dalam menjalani urusan kehidupan atau untuk mencari kebenaran, namun tidak semestinya hasil pemikiran mereka menepati tujuan sebenar serta mencapai matlamat yang dimaksudkan dan diinginkan.

Sebagai contoh, apabila melihat awan tebal hitam di langit, manusia memikirkan dan menjangkakan hujan akan turun tidak lama lagi. Namun, tanggapan akal semata-mata berdasarkan faktor awan hitam yang tebal tidak semestinya dapat menghasilkan keputusan yang benar dan tepat. Kadang-kadang hujan tidak turun walaupun pada kebiasaannya awan tebal yang menandakan atau menyebabkan hujan turun.

Maka, kita perlu memahami lojik itu berdasarkan kepada pengalaman lalu, mahupun berdasarkan kepada kajian sainstifik berkaitannya. Sebab itu, peribahasa kita ada menyebut, kalau mendengar guruh di langit, air di tempayang jangan dicurahkan. Nenek moyang kita menggunakan kiasan yang mendalam biarpun perkara lain ingin dinyatakan, tetapi apa yang dinyatakan itu ada kebenarannya kerana mereka pemerhati yang akrab dengan alam.

No comments:

Post a Comment