Saturday 28 July 2018

SEMANGAT CINTAKAN NEGARA MELALUI DETIK PERISTIWA

Setiap rakyat perlu ditanam semangat cintakan negara agar jati diri menjadi lebih kental dan jitu dalam menghadapi segala macam bentuk pengaruh menghakis kecintaan terhadap negara.

Apa dinikmati sekarang bukan dicapai dengan mudah. Genarasi terdahulu telah melakukan perkara terbaik untuk diwarisi generasi kini. Justeru, apa yang dimiliki dan dinikmati sekarang perlu dihargai sepenuhnya. Ingatlah, membina mengambil masa yang lama, tetapi merobohnya boleh berlaku dalam masa yang singkat.     

Salah satu cara menanam dan memperkukuhkan jati diri ialah dengan cara menyedarkan rakyat mengetahui detik peristiwa yang dilalui oleh negara bermula pra kemerdekaan dan pasca kemerdekaan sehingga sampai sekarang. 

Menghayati sejarah memberi pengajaran kepada semua jika ia dihalusi dengan fikiran terbuka. Ramai yang lupa sejarah setelah menikmati kehidupan selesa dan mendapat apa dihajati. 

Negara kita mula dijajah pada 1511 apabila jatuhnya Kesultanan Melayu Melaka di tangan Portugis. Selepas itu selama 446 tahun negara telah dijajah silih berganti oleh Belanda, Inggeris, Jepun dan Siam. Siam pernah menjajah beberapa negeri di bahagian utara dan timur negara kita. 

Penjajahan berlangsung panjang disebabkan di kalangan rakyat tidak ada yang dapat tampil memimpin untuk menuntut kemerdekaan. Perpecahan di kalangan pemimpin dan perebutan kuasa sesama sendiri memberi ruang untuk penjajah terus berkuasa di negara kita.

Semangat menuntut kemerdekaan benar-benar wujud dan menampakkan kesan perjuangan ialah setelah tertubuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PERKEMBAR) atau lebih dikenali UMNO diketuai Datuk Onn Jaafar pada 1946.

Bermula dengan UMNO tercetuslah semangat menuntut kemerdekaan diketuai Tunku Abdul Rahman dengan turut disertai MCA dan MIC bergabung di bawah nama PERIKATAN yang kini dikenali Barisan Nasional.

Selepas mencapai kemerdekaan, cabaran pemerintahan negara terletak sepenuhnya di tangan pemimpin dan rakyat.  Segala-galanya dilakukan dalam serba kekurangan. Ekonomi dan sistem pemerintahan masih dikuasai oleh bekas penjajah. Namun, pemimpin dan rakyat gigih dan yakin dapat membina negara yang berjaya.   

Cabaran awal bertambah buruk apabila wujud fahaman komunis yang melakukan perang gurila memperjuangkan fahaman komunis. Banyak penderitaan dan kerugian ditanggung oleh rakyat. 

Pada awal kemerdekaan, perpaduan kaum masih lemah. Ketika dijajah rakyat diasingkan bidang pekerjaan, pelajaran, taraf hidup mengikut kaum dan kekayaan negara diagihkan tidak sama rata sehingga menimbulkan rasa perkauman. Cabaran menghapuskan polarisasi kaum menjadi cabaran utama ketika itu. 

Sejarah 13 Mei 1969 memberi pengajaran kepada semua pihak mengenai sensitiviti isu perkauman. Dalam apa juga keadaan isu perkauman tidak patut diperlekehkan. Justeru, semua kaum perlu memahami dan menghormati kaum lain. Isu perkauman tidak wajar dimainkan oleh mana-mana pihak atau individu untuk menjadi jaguh kepada kaum berkenaan. 

Setelah berjaya melalui pelbagai cabaran yang besar, negara mencapai kejayaan dalam pelbagai lapangan. Malaysia mampu mencipta kejayaan yang sukar dilakukan sebuah negara sedang membangun dan baru mencapai kemerdekaan. Negara kita mencapai kemajuan dan kejayaan lebih baik daripada apa yang dicapai oleh negara lain yang lebih dahulu mencapai kemerdekaan.   

Malaysia mampu menganjurkan Sukan Komenwel Ke 16 dengan pengiktirafan paling hebat abad ini, memiliki litar Formula One paling canggih, lapangan terbang serba moden, bangunan berkembar tertinggi di dunia, sistem pengangkutan semakin canggih dan pelbagai kejayaan lain membanggakan.

Negara lain boleh, Malaysia Boleh. Rakyat Malaysia telah menakluk puncak tertinggi dunia, menjelajah ke kutub, berlayar solo mengelilingi dunia, hantar angkasawan ke angkasa lepas dan pelbagai kejayaan yang telah  meletakkan nama rakyat Malaysia setanding rakyat negara maju.

Nama Malaysia harum di mata dunia. Malaysia tidak lupa menyumbangkan usaha untuk kesejahteraan warga dunia. Keterlibatan dalam pelbagai usaha peringkat antarabangsa menjadikan Malaysia lebih dikenali dan dihormati. Malaysia pernah mempengerusikan dua pertubuhan penting di dunia ialah Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan Pergerakan Pertubuhan Negara-negara Berkecuali (NAM).

Negara juga tidak ketinggalan dalam menjaga keamanan dunia. Tentera Malaysia pernah bertugas di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Kongo, Komboja, Namibia, Sahara Barat, Somalia, Bosnia, Lubnan dan di beberapa negara lain. 

Terbaru, dengan kebijaksanaan pemimpin Malaysia berjaya menjadi orang tengah mewujudkan pendamaian di antara kerajaan Filipina dengan Bangsamoro. Dalam kancah penindasan dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin, suara Malaysia sentiasa dihormati dan diambilkira oleh pihak antarabangsa. 

Malah, Malaysia menjadi negara pertama menghulurkan bantuan kepada seluruh masyarakat antarabangsa yang memerlukan bantuan melalui Misi Aman Malaysia, Mercy Malaysia, Putera Malaysia dan sebagainya.

Dalam soal pembangunan dan perkembangan ekonomi, Malaysia menjadi contoh kepada negara-negara membangun lain. Bermula dengan negara pengeluar sumber komoditi getah dan biji timah pada awal kemerdekaan, kini telah membuka ruang menimba pengalaman memajukan sektor berasaskan teknologi dan perusahaan berat.

Kemajuan yang dicapai ialah hasil tindakan tegas pemimpin negara tidak begitu bergantung kepada Barat. Sebaik merasakan diri mampu berdikari daripada kongkongan negara Barat, negara telah mengiystiharkan Dasar Pandang Ke Timur ketika era pemerintah Tun Dr Mahathir Mohammed.. 

Dasar tersebut telah mencetuskan rasa tidak senang banyak pihak di Barat, namun ia tetap diteruskan. Dasar Pandang Ke Timur membuka kerjasama dengan Jepun dan Korea Selatan, dua kuasa ekonomi di timur.

Hasil dasar itu ialah pemindahan teknologi pembuatan kereta dari Jepun sehingga kita mampu mengeluarkan kereta sendiri untuk kegunaan tempatan dan eksport. Terhasilnya Proton Saga pada 1985 amat membanggakan biarpun pada peringkat awalnya menerima kritikan ramai pihak yang tidak yakin kejayaannya. Berlanjutan kejayaan itu negara lebih berani dan bertekad menceburi bidang yang sebelum ini asing. 

Jika dahulu kita dikenali negara pengimport barangan mesin dan elektoronik, tetapi kini telah bertukar menjadi negara pengeksport. Penghasilan barangan berteknologi tinggi menjadikan Malaysia setanding negara maju. Barangan Malaysia dieksport turut ke negara maju dan berjaya bersaing dengan keluaran negara maju.

Hakikatnya tiada negara tidak pernah menghadapi kejatuhan ekonomi. Masalah kegawatan ekonomi biasanya berlaku secara kitaran. Setiap negara mengalami kitaran turun naik ekonomi. Malaysia tidak terkecuali dalam fenomena dunia ini.

Tahun 1985 negara mengalami kegawatan ekonomi yang teruk. Namun, berkat kebijaksanaan pemimpin dan sokongan padu daripada seluruh rakyat,  masalah itu dapat diatasi. Malaysia memasuki tahun 90an dengan perkembangan ekonomi yang pesat dan berada pada tahap memberangsangkan. 

Pada 1997 sekali lagi negara mengalami masalah kegawatan ekonomi akibat diancam oleh sepkulator mata wang. Kegawatan ekonomi negara kali ini lebih teruk akibat tindakan dirancang oleh pihak musuh yang berkuasa memunipulasi keadaan. 

Tambah memburukkan ialah apabila timbul pula masalah dalaman politik negara. Pihak asing mengambil kesempatan mengeruhkan lagi keadaan. Pihak asing bertindak menghulur bantuan tetapi sebenarnya terselit racun berbisa.

Tekanan asing tidak menjadikan negara mudah terpengaruh mengikut apa yang mereka mahukan. Kita yakin kepada kemampuan sendiri untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Rakyat memberi sokongan sepenuhnya kepada kerajaan menangani masalah ekonomi mengikut acuan sendiri. Paling penting ialah sikap rakyat yang bersedia berkorban demi kebaikan negara.

Tanpa menerima bantuan asing, negara bebas menentukan dasar dan haluan sendiri. Rakyat telah menunjukkan pengorbanan untuk mempertahankan hak kemerdekaan negara dalam ertikata sebenarnya.

Ternyata keberanian dan ketegasan Malaysia tidak menerima bantuan asing mendapat kritikan hebat dari dalam dan luar negara. Malaysia satu-satunya negara yang mengalami kegawatan ekonomi yang tidak menerima bantuan Tabung Wang Antarabangsa (IMF).

Keengganan Malaysia menerima bantuan IMF didakwa oleh kebanyakan pihak akan memusnahkan Malaysia. Pihak asing menanti kegagalan formula Malaysia menangani masalah kegawatan ekonomi dan berharap akan masuk perangkap mereka menerima bantuan asing. Namun semua tekaan itu meleset.

Tindakan Malaysia tepat. Usaha pemulihan ekonomi berjaya dalam tempoh masa tidak sampai tiga tahun, kejayaan lebih awal daripada tempoh lima tahun yang dijangkakan. 

Hasilnya negara kembali stabil. Malah ketika negara lain sekarang ini mengalami kegawatan ekonomi, Malaysia masih kukuh dan terus berkembang dengan baik. Musuh politik tidak lagi menggunakan alasan kegawatan ekonomi untuk menekan kerajaan. Peluang negara asing masuk campur urusan negara terus tertutup. 

Malaysia menjadi model sebuah ekonomi yang kukuh melalui penyertaan aktif kerajaan merancang dan mentadbir secara berhemah. Malaysia menjadi antara negara terawal memperkenalkan perbankan Islam dan takaful yang kini menjadi produk kewangan yang menjadi ikutan negara-negara lain. 

No comments:

Post a Comment