Saturday 28 July 2018

AMALAN NEGATIF SAMBUT ULANGTAHUN KEMERDEKAAN

Ulang tahun kemerdekaan negara disambut meriah oleh segenap lapisan masyarakat sebagai tanda memperingati detik negara mencapai kemerdekaan dan menanam semangat patriotisme. 

Bagaimanapun, perlu diingatkan acara yang dianjurkan itu hendaklah mencerminkan semangat kemerdekaan. Berdasarkan kepada pengalaman tahun-tahun sebelum ini, acara sambutan kemerdekaan yang diadakan sebenarnya banyak dicemari dengan nilai bertentangan kehendak agama dan budaya. 

Selain sambutan rasmi kerajaan, banyak pihak melakukan sambutan kemerdekaan dengan majlis hiburan, tari menari, percampuran bebas lelaki perempuan, meminum arak dan keriangan melampau. Acara tersebut nyata bertentangan dengan syariat Islam dan budaya Melayu. 

Nyata sekali acara sambutan yang dianjurkan bukanlah bertujuan menanam semangat cintakan negara, tetapi untuk bersuka ria semata-mata. Golongan muda mudi menjadikan sambutan kemerdekaan sebagai pesta. Ia diadakan lebih hebat berbanding hari biasa dengan alasan sambutan kemerdekaan. 

Tindakan muda mudi bergembira menyambut kemerdekaan mencerminkan kehidupan bebas di luar kawalan. Sambutan bukan sekadar dilakukan sehingga pukul 12 malam yang menjadi detik menyambut kemerdekaan, sebaliknya berlarutan pukul tiga atau empat pagi.

Dalam keadaan tersebut, banyak perkara menyalahi batasan agama dan budaya. Pergaulan bebas lelaki perempuan bukan sekadar dalam majlis sambutan, tetapi melarat kepada perbuatan zina.

Akibat godaan syaitan dan fikiran yang tidak lagi normal, secara dirancang atau tidak dirancang, ramai pasangan muda mudi menyambut kemerdekaan di ranjang.

Sambutan ambang ulang tahun kemerdekaan mestilah diadakan dengan amalan yang mencerminkan semangat cintakan negara. 

Pergaulan bebas lelaki dan perempuan ketika sambutan ambang ulang tahun kemerdekaan bukan mencerminkan semangat cintakan negara, tetapi tanda-tanda keruntuhan moral yang akan meruntuhkan negara.

Keruntuhan moral menjadi barah dalam masyarakat yang mesti diatasi segera supaya tidak merosakkan visi dan misi negara menjadi negara cemerlang, gemilang dan terbilang.

Negara memerlukan rakyat yang sentiasa proaktif, produktif dan mempunyai anjakan paradigma untuk berjaya dalam setiap apa yang dilakukan.

No comments:

Post a Comment