Keamanan
merupakan hak seluruh warga dunia. Tidak ada manusia berfikiran waras inginkan
kepada suasana tidak aman, lebih-lebih lagi mendatangkan bahaya kepada diri dan
ahli keluarga.
Piagam
dan cita-cita inginkan keamanan dipegang oleh semua agama dan masyarakat
bertamadun. Tindakan melancarkan peperangan, pembunuhan dan kekerasan hanya
dilakukan manusia zaman kuno untuk merebut sesuatu dikehendaki.
Sesungguhnya
Islam merupakan agama keamanan dan kesejahteraan. Islam menolak sebarang bentuk
kekacauan dan keganasan. Seluruh umat Islam perlu menghayati erti persaudaraan
sama ada sesama Islam, maupun dengan penganut agama lain.
Ajaran
Islam tetap satu dan sama, biarpun dianuti pelbagai bangsa, warna kulit dan
negara. Risalah dibawa Islam tidak membezakan bangsa dan warna kulit. Siapa
berpegang kepada ajaran Islam dan benar-benar beriman kepada Allah, maka dia
berhak mendapat kemuliaan di sisi Allah.
Firman
Allah bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada
seorang lelaki dan seorang perempuan; dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan
berpuak-puak supaya kamu kenal mengenali antara satu sama lain. Yang lebih
mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling takwa.” – (Surah
al-Hujurat, ayat 13).
Justeru
itu tiada individu, kumpulan atau bangsa boleh mengaku lebih mulia dan berkuasa
berbanding yang lain.
Biapun
dari bangsa berkuasa, warna kulit menarik, keturunan berdarjat, mewah dengan
kekayaan dan ditakuti pihak lain, itu semuanya tiada bezanya di sisi Allah.
Rasulullah
bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras dan
harta benda kamu, tetapi Allah hanya melihat kepada hati dan amalan kamu.” -
(Hadis riwayat Bukhari).
Islam
melarang sebarang perpecahan, biarpun nampak kecil. Perpecahan kecil yang tidak
dikawal akan mengakibatkan perpecahan lebih serius. Justeru itu, jangan
memandang mudah kepada bibit-bibit perpecahan.
Sebab
itu Islam mengharamkan perbuatan berselisih faham, biarpun sekadar tidak
bertegur sapa atau memalingkan muka melebihi tiga hari. Had tiga hari itu
memberi peluang kepada individu yang berselisih faham memikirkan kesannya,
mententeramkan fikiran dan mencari titik penyelesaian.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Tidak halal bagi Muslim meninggalkan saudara Muslim yang
lain lebih dari tiga hari, (di mana) keduanya berjumpa lalu yang seorang
memalingkan dirinya dari yang lain.” - (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim).
Ini
membuktikan Islam amat mementingkan ikatan persaudaraan dan menghalang sama
sekali sebarang perpecahan. Biarpun perbuatan memaling muka dan tidak bertegur
sapa sekadar ‘perang dingin’, ia tetap ditegah. Perbuatan tersebut akan
merenggamkan dan lebih teruk lagi memutuskan tali persaudaraan.
Gambaran
daripada hadis tersebut dapat menjelaskan perbuatan pulau memulau, melancarkan
tindakan ganas, tidak mengaku seagama dan menyelar dengan kata-kata tidak baik,
tentulah amat dilarang sama sekali.
Siapa
mengaku dirinya beriman, maka haram baginya menghina dan bermusuhan dengan saudara
seagama dengan alasan apa sekalipun. Malang sekali disebabkan berebut kedudukan
dan berlainan idologi politik menyebabkan umat Islam berpisah sesama sendiri.
No comments:
Post a Comment