Friday, 19 February 2021

WATERMELON BUKIT LARUT

Bukit Larut merupakan kawasan reakreasi tanah tinggi di negeri Perak. Bukit Larut atau dahulunya dikenali Bukit Maxwell sempena residen British ketika itu iaitu George Maxwell pada 1880. Suhu pada hari siang ialah di antara 15 hingga 25 darjah Celsius dan boleh mencecah 10 darjah Celsius pada waktu malam.

Perjalanan ke atas Bukit Larut melalui jalan sempit yang terdapat 72 selekoh berliku tajam di lereng bukit. Ketinggian Bukit Larut ialah 1,200 meter. Kawasan ini merupakan kawasan tanah tinggi yang paling basah di Malaysia. Hampir setiap hari pada waktu petang, hujan bukit turun di kawasan ini.

Bukit Larut kini menjadi antara destinasi bagi penggemar hiking. Mereka boleh memilih laluan bertar atau laluan trek tanah.

Jarak hiking dari kaki bukit hingga ke Ladang Teh yang berketinggian 656 meter ialah kira-kira 6 kilometer. Sepanjang hiking terdapat beberapa tempat pemeriksaan atau tempat rehat.

Antara tempat rehat itu ialah Pondok 1, Pondok 2, Pondok 3 dan Watermelon. Tidak pasti pula mengapa nama watermelon digunakan. Mengapa tidak sahaja menggunakan nama ‘tembikai’. Kalau Bukit Maxwell ditukar kepada Bukit Larut, mengapa tidak tukar ‘watermelon’ kepada ‘tembikai’ atau nama-nama lain bercirikan Malaysia.

Monday, 15 February 2021

ASAM RONG BIJI GETAH PENYEDAP RASA

Biji getah ialah biji yang dihasilkan dari pokok getah yang matang. Biji getah ini berbentuk bulat dan lonjong. Warnanya bergantung kepada spesis pokok getah itu ada yang berwarna coklat, hitam, merah-kemerahan, berjalur hitam dan putih.

Saiz biji getah ini juga mengikut baka pokok tersebut ada yang kecil dan ada yang besar kebiasaanya dalam lingkungan 20 mm hingga 35 mm. Kulit di bahagian permukaannya keras, licin dan nipis dan mempunyai tertulang di bahagian belakang biji getah ini. Isinya bewarna putih dan ia lembut serta kenyal.

Biji getah ini akan gugur sendiri ke bumi apabila buah "meletup". Biji getah yang gugur ke bumi boleh mengeluarkan tunas dan boleh menjadi baka anak pokok getah yang baharu.

Biji getah menjadi satu alat permainan kanak-kanak semasa dahulu untuk bermain laga buah getah. Ia juga dijadikan buah congkak. Selain itu, biji getah juga sering dijadikan peluru untuk lastik.

Selain itu biji getah juga digunakan sebagai makanan dengan diperam atau dikenali sebagai asam rong.

Asam rong termasuk dalam kategori makanan tradisional. Tetapi perlu pelajari bagaimana caranya biji getah itu menjadi bahan ramuan dalam masakan sehingga menjadi juadah digemari ramai. 

Hidangan dengan campuran asam rong biji getah ini cukup popular dan menjadi resipi turun temurun penduduk Jerantut, Pahang. 

Asam rong biji getah ini apabila dicampurkan dalam pelbagai jenis masakan mampu menghasilkan rasa dan aroma yang boleh mengecurkan air liur. 

Perkataan asam adalah disebabkan cara menyimpannya iaitu diperam dalam tempoh waktu tertentu, manakala rong pula merujuk bahagian isi dalam buah getah yang juga dipanggil rong.

Asam rong ini rasanya sedikit pahit kerana diperam untuk satu tempoh yang agak lama. Berbulan-bulan juga disimpan untuk mendapatkan rasa asam sebenar.

Untuk mendapatkan isi biji getah, ia perlu dipecahkan kulitnya. Cara pecahkan dengan menggunakan batu lesung atau apa-apa yang keras seperti kayu, tungkul dan batu.

Isi biji getah berwarna putih, lembut dan kenyal akan dijemur selama lima hingga tujuh hari sehingga kering untuk menanggalkan selaput kulit daripada rong dan menjadi kecut sepenuhnya.

Setelah kering biji getah tadi ditumbuk tetapi tidak terlalu hancur. Selepas ditumbuk, ia akan diramas bagi mengeluarkan minyak biji getah. Jika tidak dikeluarkan minyak biji getah, asam rong yang dihasilkan kurang sedap dan berbau tengik bila disimpan lama.

Proses seterusnya ialah biji getah yang telah ditumbuk dan diperah itu akan diperam di dalam bekas tertutup seperti tempayan atau balang dan disimpan di tempat kering bagi mengelak berkulat dan rosak. 

Kebiasaanya asam rong ini boleh bertahan dalam tempoh beberapa bulan untuk menghasilkan rasa kelat-kelat lemak yang enak.

Selepas disimpan lama dan cukup tempoh, barulah asam rong digunakan sebagai penambah rasa dalam masakan.  

Teksturnya yang kering berderai menjadikan ia bahan perencah serba guna yang boleh diubah suai mengikut pelbagai jenis masakan. 

Ia boleh dicampurkan ke dalam sayuran goreng, gulai, asam atau sambal bergantung kepada selera si pembuat. Selain itu ia juga dijadikan sambal dan dimakan dengan pelbagai ulaman.

Asam rong yang siap diproses boleh dijual pada harga antara RM30 hingga RM35 sekilogram.


Wednesday, 10 February 2021

PASAR BEREK 12 KOTA BHARU

Pasar Berek 12, adalah pasar yang  memang dikenali oleh penduduk sekitar Kota Bharu hatta seluruh penduduk Kelantan. Pasar Berek 12 menjadi tumpuan penduduk sekitar Kota Bharu, terutama yang tinggil di sebelah timur bandar Kota Bharu.

Pasar Berek 12 menjadi tumpuan untuk mendapat keperluan harian, terutama barang basah dan barang dapur. Pasar ini mula diguna sekitar tahun 1980, dibina selepas Barisan Nasional (BN) memerintah Kelantan pada tahun 1978.

Tapak Pasar Berek 12 asalnya kawasan paya yang ditimbus. Nama tempat tersebut dan kawasan sekitarnya adalah Kampung Paya Rani. Namun Pasar Berek 12 adalah mengambil nama asal pasar awal yang terletak kira-kira 1 kilometer yang terletak di Lorong Nyor Cabang.

Nama Berek 12 diambil nama rumah berek atau rumah teres yang dibina di kawasan tersebut. Namun, difahamkan rumah teres tersebut bukan berjumlah 12 pintu. Jadi, tidak diketahui mengapa angka 12 itu digunakan.

Bangunan Pasar Berek 12 yang ada dibina semasa kerajaan BN hanya satu tingkat. Bagaimanapun, pada pertengahan tahun 2016 ia dikosongkan untuk memberi laluan kepada perobohan bangunan tersebut untuk dibina bangunan baharu. Peruntukan pembinaan disediakan oleh kerajaan Pusat pada ketika itu.

Pasar Berek 12 kini telah berwajah baharu dan memberi keselesaan kepada pengguna apabila ruang lebih luas dan teratur berbanding sebelumnya. 

Bangunan baharu tiga tingkat itu kini menjadi mercu tanda kewasan tersebut. Selain lot-lot kedai, di bangunan tersebut turut disediakan dewan untuk aktiviti peniaga dan masyarakat setempat.

Malang sekali, bangunan baharu itu kini tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh peniaga. Bilangan peniaga yang beroperasi di situ menggunakan sepenuhnya kemudahan ruang yang disediakan tidak sepenuhnya.

Tidak dipastikan mengapa perkara itu berlaku, tetapi yang pasti ia satu kerugian apabila bangunan yang luas dan selesa itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Gambar atas: Pasar Berek 12 baharu
Gambar bawah: Pasar Berek 12 lama (sekitar tahun 2010)




Thursday, 4 February 2021

KAYUH BASIKAL SECARA MENYENDENG BAWAH PALANG

Pada era 50-an dan 60-an, mampu memiliki basikal sudah dianggap orang berada. Guru dan pejawat awam akan ke pejabat menggunakan basikal.

Dalam filem Seniman Bujang Lapok, yang diterbitkan tahun 1961, Ramlee, Aziz dan Sudin mampu memiliki basikal setelah bergelar ‘seniman’ yang dianggap satu pekerjaan agak baik pada ketika itu.

Salmah yang bertugas sebagai jururawat berulang alik ke tempat kerja menggunakan basikal. Bahkan, Shariff Dol, samseng Kampung Dusun yang kaya juga beraksi ke sana ke mari menggunakan basikal.

Di Kelantan, mungkin di negeri-negeri lain, basikal ada ‘jantina’ iaitu basikal jantan dan basikal betina. Perbezaan ciri basikal jantan dan basikal betina berdasarkan kedudukan palang.

Jika palang mendatar dari bahagian tempat duduk sehingga sehingga bahagian handle, itu namanya basikal jantan. Jika palang mereng atau condong dari handle sehingga ke bahagian pengayuh pula dinamakan basikal betina.

Kebanyakan basikal ketika itu dikategorikan sebagai basikal jantan. Memang sukar untuk dikayuh oleh mereka yang masih kanak-kanak atau rendah. Pada ketika itu memang jarang ditemui basikal untuk budak-budak.

Memandangkan mengayuh basikal ketika itu dianggap satu ‘keperluan’ dan sesuatu kebolehan yang dibanggakan, maka kanak-kanak akan belajar mengayuhnya secara menyendeng.

Memang satu usaha yang kreatif dan kemampuan yang agak istimewa.