Kejatuhan
empayar Kesultanan Melayu Melaka kepada Portugis pada 1511 memberi kesan besar
kepada kedudukan Raja Melayu di Nusantara.
Pun
begitu, Kerajaan Pattani Besar telah bangkit menggantikan empayar Melaka bagi
menaungi kerajaan Melayu yang masih berselerak di Tanah Melayu.
Antara
kawasan yang dinaungi Kerajaan Pattani Besar ialah kawasan Kelantan. Ketika itu
terdapat beberapa negara kota yang diperintah oleh Raja yang tersendiri di
Kelantan.
Antaranya
Kota Jembal (Datu Kelantan - bagi pihak Pattani), Negeri Chermin (Kesultanan
Kelantan) dan Cherang Tegayong (pimpinan Paduka Chik [Cik Siti] Wan Kembang)
Raja
Loyor merupakan putera kepada Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzzafar. Baginda
dilantik sebagai wakil Kesultanan Pattani di Kelantan oleh Sultan Pattani iaitu
Sultan Muhammad Syah sebagai Datu Kelantan.
Baginda
tidak mempunyai putera, hanya dikurniakan dua orang puteri iaitu Puteri Dalula
dan Puteri Mariam.
Puteri
Dalula telah berkahwin dengan Pemangku Raja Campa, manakala Puteri Mariam yang
lebih terkenal dengan nama Puteri Saadong telah diambil sebagai anak angkat
semenjak dari kecil oleh Paduka Chik Wan Kembang memandangkan baginda tidak
mempunyai zuriat.
Dari
satu sudut peristiwa penyerahan Puteri Saadong oleh Raja Loyor kepada Paduka
Chik Wan Kembang sebagai anak angkat boleh dianggap sebagai satu usaha untuk
menjalinkan hubungan yang kekal antara dua negara kota di Kelantan.
Tindakan
itu seterusnya mengimbangkan keadaan pemerintahan di Kelantan yang ketika itu
dilihat agak malap dan lemah kerana pada masa itu tiada kerajaan yang kukuh
untuk mempertahankan negeri yang sering diancam oleh Siam.
Puteri
Saadong akhirnya membesar dengan selayaknya sebagai seorang Puteri. Baginda
telah dikurniakan kejelitaan yang dikatakan tiada tolok bandingnya.
Kecantikan
baginda telah menjadi buah mulut ramai hingga sampai kepada pengetahuan Raja
Siam iaitu Ekathotsarot yang lebih dikenali sebagai Sanpet III dalam Sejarah
Negara Thai.
Raja
Siam itu telah menghantar rombongan diraja untuk meminang Puteri Saadong,
tetapi pinangan tersebut telah ditolak oleh Paduka Chik Wan Kembang.
Menyedari
sesuatu yang buruk akan berlaku ekoran penolakan pinangan Raja Siam, baginda
telah mengambil keputusan untuk mengahwinkan Puteri Saadong dengan Raja
Abdullah.
Mereka
berdua sebenarnya adalah sepupu dimana Raja Abdullah merupakan putera kepada
Raja Ekok yang juga saudara kepada Raja Loyor.
Setelah
perkahwinan tersebut, Paduka Chik Wan Kembang telah menabalkan Raja Abdullah
sebagai Raja Kota Mahligai.
Raja
Siam masih tetap mahu memiliki Puteri Saadong walaupun baginda telah berkahwin
dengan Raja Abdullah.
Satu
rombongan sami dan tentera Siam telah mengadap Raja Abdullah di Kota Mahligai
untuk meminang Puteri Saadong.
Tindakan
kurang ajar Siam itu telah dibantah keras oleh Raja Abdullah. Akibatnya Kota
Mahligai telah diserang oleh tentera Siam.
Raja
Abdullah, Puteri Saadong dan Paduka Chik Wan Kembang telah menyelamatkan diri
dan dikatakan berlindung sekitar Kampung Chetok, Pasir Mas.
Tentera
Siam telah berundur dan setelah keadaan reda, Raja Abdullah dan Puteri Saadong
kembali ke Kota Mahligai, satu keadaan yang tidak dapat digambarkan.
Kemusnahan
yang telah berlaku sesudah serangan Siam itu hingga menyebabkan Puteri Saadong
tertekan dengan keadaan tersebut.
Tidak
lama kemudian, mereka mendapat tahu tentera Siam akan melakukan serangan kedua
dengan jumlah tentera yang lebih ramai.
Waktu
inilah Paduka Che Wan Kembang telah mengambil keputusan untuk pulang semula ke
Gunung Chintawangsa meninggalkan Raja Abdullah dan Puteri Saadong untuk
menyelesaikan urusan di Kota Mahligai.
Khabar
tentang serangan yang akan dibuat oleh tentera Siam buat kali kedua ke atas
Kota Mahligai membuatkan rakyatnya bertambah cemas, sedangkan mereka masih
trauma dengan serangan sebelum ini.
Memandangkan
nasib rakyatnya, Puteri Saadong telah bertitah agar dirinya diserahkan kepada
Siam dengan syarat negeri dan rakyatnya dilindungi dari sebarang ancaman. Raja
Abdullah yang buntu dikatakan tanpa berfikir panjang telah bersetuju.
Setibanya
Puteri Saadong di istana Siam, sambutan gilang gemilang telah diadakan.
Bagaimanapun, Raja Siam telah jatuh sakit dengan dijangkiti penyakit kulit.
Setelah
beberapa hari ketibaan Puteri Saadong, baharulah Raja Siam berangkat
mengunjungi kediaman Puteri Saadong dengan diusung oleh para pengiringnya.
Namun
malang menimpa Raja Siam, penyakitnya bertambah-tambah apabila bertemu dengan
Puteri Saadong hingga hilang kewarasan menahan penyakit kulitnya itu.
Dari
pertemuan itu, ramai bomoh dan tabib telah mengadap untuk merawat penyakit yang
sedang ditanggung oleh Raja Siam.
Tetapi
mereka tidak berjaya mengurangkan sakit Raja Siam itu dan ia makin bertambah
apabila ia mendekati Puteri Saadong hingga menjejaskan pentadbiran kerajaan.
Akhirnya,
para sami Buddha berpendapat bahawa penyakit yang ditanggung oleh Raja mereka
itu berpunca dengan kehadiran Puteri Saadong di istana itu.
Raja
Siam sekali lagi bertemu dengan Puteri Saadong dan pada pertemuan itu mereka
telah berjanji andai Puteri Saadong dapat menyembuhkan penyakit itu, Raja Siam
akan membebaskannya dan negerinya daripada naungan Siam.
Di
Kota Mahligai, Raja Abdullah yang sedang berduka lara ekoran pemergian
permaisurinya telah hilang akal dan menganggap isterinya itu telah berlaku
curang.
Tidak
lama selepas itu beliau telah melanggar janji yang dilafaz bersama
permaisurinya sebelum berangkat ke Istana Siam dengan melangsungkan perkahwinan
dengan wanita lain.
Kuasa
Tuhan yang Esa, dengan takdirNya setelah beberapa lama Puteri Saadong merawat
Raja Siam, maka telah sembuh penyakit yang ditanggung.
Sebagai
ganjarannya, Raja Siam telah menghantar pulang Puteri Saadong ke Kota Mahligai
dengan menaiki kapal laut Siam yang paling hebat.
Setibanya
di Kota Mahligai, baginda mendapati suaminya Raja Abdullah telah berkahwin
dengan wanita lain dan memungkiri janji mereka sebelum ini.
Remuk
hati baginda, kerana telah menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada janji mereka
dan mengorbankan segala-galanya demi mempertahankan negeri, rakyat dan juga
maruah suaminya.
Alasan
berlaku curang dijadikan punca kenapa suaminya itu berkahwin lain dan ia tidak
boleh diterima oleh Puteri Saadong.
Berlakulah
peristiwa pertengkaran antara mereka. Puteri Saadong mula hilang pertimbangan
dan telah menikam Raja Abdullah dengan cucuk sanggulnya.
Ada
pendapat lain pula menafikan Puteri Saadong menikam suaminya dengan menggunakan
cucuk sanggul akibat mengikut perasaan marah dan cemburu.
Puteri
Saadong disifatkan sebagai seorang yang mempunyai pegangan agama dan
berperibadi baik. Mana mungkin dia sanggup membunuh suaminya.
Jadi,
kematian Raja Abdullah dikatakan tiada kaitan dengan Puteri Saadong.
Pendapat
seterusnya mengatakan Puteri Saadong tanpa sengaja tertikam Raja Abdullah
dengan cucuk sanggulnya yang akhirnya menyebabkan suaminya terbunuh.
Selepas
kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong memencilkan diri di Bukit Marak
bersama dayang-dayangnya dan dijaga oleh hulubalangnya, Awang Selamat.
Puteri
Saadong telah menyerahkan kuasa pentadbiran Kota Mahligai kepada Raja Rahim
(adik iparnya) atas kehendak Puteri Saadong sendiri yang membuat keputusan
untuk turun takhta.
Namun,
sepanjang pemerintahan Sultan Abdul Rahim, pelbagai bentuk kezaliman berlaku
menyebabkan rakyat terpaksa mengadu dan merayu Puteri Saadong di Bukit Marak
supaya campur tangan dalam usaha mengembalikan semula keamanan di Kota
Mahligai.
Kebangkitan
rakyat yang menentang kezaliman akhirnya mengakibatkan Sultan Abdul Rahim
terbunuh di tepi Tasik Lelayang.
Pendapat
lain pula mengatakan bahawa Sultan Abdul Rahim mati dibunuh atas arahan
sepupunya, Raja Kechil Sulong.
Dengan
kemangkatan Sultan Abdul Rahim, maka berakhirnya kerajaan yang berpusat di Kota
Mahligai dan selepas itu wujud kembali kerajaan Jembal di bawah pemerintahan
Raja Umar yang bergelar Sultan Umar pada 1675.
Sultan
Umar merupakan adik kepada Raja Loyor (Sultan Adiludin).
Sepanjang
pemerintahan Sultan Umar, tiada sebarang permusuhan mahupun pergaduhan tercetus
di antara negara jiran, malah rakyat hidup dalam keadaan aman damai.
Bapa
saudara Puteri Saadong itu juga melakukan pelbagai bentuk pembangunan termasuk
membuka kawasan tanaman padi yang luas dinamakan Padang Jembal.
Baginda
juga melakukan lawatan kerja ke seluruh kawasan dan jajahan takluk dan membina
hubungan diplomatik dengan kerajaan luar seperti Pattani, China dan Jawa.
Berita
mengenai Puteri Saadong tidak diketahui lagi selepas kali terakhir baginda
didakwa berpindah dari Bukit Marak ke Gunung Ayam yang terletak berhampiran Sungai
Nenggiri, Ulu Kelantan.
Gambar: Kakit Bukit Marak yang dikaitkan dengan lagenda Puteri Saadong.
No comments:
Post a Comment