Status
Malaysia negara Islam atau sekular? Soalan tersebut sebenarnya bersifat
semantik kerana jawapannya bergantung kepada definisi negara Islam itu sendiri.
Sebahagian
ulama sudah melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Tetapi ada sebahagian
lain mengatakan tidak dan perlu melakukan lebih untuk menjadi sebuah negara
Islam. Namun yang pasti, Malaysia bukan negara sekular.
Sekularisme
adalah prinsip pemisahan institusi kerajaan dan orang yang diberi mandat untuk
mewakili kerajaan daripada institusi-institusi agama dan pengamalan agama.
Dalam
sebuah negara sekular, agama tidak dan tidak perlu memainkan peranan dalam
pentadbiran negara.
Dalam
sebuah negara sekular sepatutnya tidak ada apa-apa keutamaan atau prasangka
dilakukan terhadap mana-mana agama.
Jika
diperhalusi, Perlembagaan Persekutuan sebenarnya memperuntukkan banyak fasal
mengenai agama Islam.
Perkara 3 menegaskan tanpa keraguan bahawa Islam adalah agama
Persekutuan.
Negara
sekular seperti Perancis, Turki dan India menyatakan dengan jelas dalam
perlembagaan mereka bahawa negara itu negara sekular tanpa merujuk kepada
sebarang agama.
Ia
tidak berlaku dalam Perlembagaan Malaysia dengan wujudnya Perkara 3 di
atas.
Jika
Perlembagaan adalah sekular, tentu Perkara 3 itu ditiadakan, malah ada banyak
fasal lain yang memberi keistimewaan dan kedudukan tinggi agama Islam. Ia
mustahil berlaku dalam sebuah negara sekular.
Sebuah
negara sekular tidak boleh mengeluarkan dana awam bagi perkembangan sesuatu
agama kerana ia bertentangan dengan prinsip sekularisme.
Namun,
di Malaysia, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memperuntukkan ratusan
juta ringgit bagi pengembangan dan kemajuan agama Islam, sama ada untuk
pembinaan masjid, peruntukan jabatan berkaitan agama Islam dan banyak
lagi.
Tindakan
kerajaan selaras dengan peruntukan Perlembagaan yang membenarkan dana awam
digunakan bagi pembangunan agama Islam seperti diperuntukkan Perlembagaan dan
sekali gus menjadi bukti Islam mendapat tempat istimewa dalam
Perlembagaan.
Perkara
11(4) Perlembagaan pula memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri dan Parlimen
bagi Wilayah Persekutuan membuat undang-undang mengawal dan menyekat penyebaran
agama bukan Islam di kalangan umat Islam.
Adalah
mustahil dalam sebuah negara bersifat sekular keistimewaan itu diberikan kepada
sesebuah agama. Hal ini dengan sendiri menafikan hujah Perlembagaan adalah
perlembagaan sekular.
Malah,
dengan pindaan Perlembagaan pada 1988 menyatakan bahawa Mahkamah Sivil tidak
mempunyai bidang kuasa mengganggu keputusan Mahkamah Syariah.
Pindaan
itu sekali gus menaikkan kedudukan agama Islam dan Mahkamah Syariah. Jelas
sekali ia satu keistimewaan diberikan kepada agama Islam.
Malah,
dalam banyak keadaan lain, agama Islam dirujuk dan diiktiraf. Ia termasuk dalam
sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong juga
menggunakan format dengan menyebut nama Allah seperti lafaz wallahi wabillahi
watallahi.
Ia
sumpah syarie mengikut lunas undang-undang syariah. Dengan menggunakan nama
Allah SWT, kedua-dua baginda berazam akan mempertahankan agama Islam di negara
ini.
Malah,
Perdana Menteri dan kerajaannya juga wajib mempertahankan Islam sejajar dengan
sumpah itu. Seluruh rakyat seharusnya menerima hakikat ini dan tidak
berdolak dalik berselindung di bawah bayangan lampau.
Adalah
jelas Perlembagaan dan negara Malaysia bukan negara sekular dalam erti kata
sekular itu sendiri. Negara sekular memisahkan agama daripada perundangan dan
pentadbiran. Negara sekular meminggirkan agama dalam mengejar kemajuan.
Perlembagaan
Persekutuan dengan jelas menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan. Islam
juga jelas dinyatakan sebagai agama bagi semua negeri di Malaysia kecuali
Sarawak.
Tidak
ada perkataan ‘rasmi’ digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai
agama. Malah perkataan sekular juga tidak ditemui di dalam Perlembagaan
Persekutuan.
Perlu
diingat, jika kita meneliti Laporan Suruhanjaya Reid kita akan memahami bahawa
sekularisme telah ditolak ketika suruhanjaya tersebut merangka Perlembagaan
Persekutuan.
Melihat
Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, tidak ada susunan kata yang nyata yang menetapkan
bahawa pengisytiharan Islam sebagai agama persekutuan tidak akan menghalang
kerajaan daripada menjadi negara sekular.
Perkara
3 (1) berbunyi, Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain
boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Oleh
yang demikian, pengiktirafan Perlembagaan kepada pelbagai entiti Islam dan
badan-badan seperti mahkamah syariah dan pihak berkuasa agama Islam yang diberi
kuasa-kuasa yang jelas untuk menjalankan hal ehwal umat Islam adalah sejajar
dengan semangat kerangka asas Perlembagaan itu sendiri.
No comments:
Post a Comment