Wednesday, 30 June 2021

TASIK RABAN DIIKTIRAF TAPAK WARISAN DUNIA

Tasik Raban adalah merupakan salah satu antara lokasi menarik untuk dilawati di Lenggong, Perak. Tasik Raban diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Pengunjung selesa dan mudah ke Tasik Raban menggunakan Jalan Raya Kuala Kangsar–Gerik yang merentasi kawasan tasik. Jaraknya hanya kira-kira 12 kilometer dari pekan Lenggong.

Sebelum siap jalan tersebut, pengguna perlu melalui pinggir tasik. Ketika itu pengguna dapat menikmati keindahan tasik dan suasana kampung.

Pembinaan jalan baharu yang lurus dan luas tersebut turut membina jambatan untuk menyeberangi Tasik Raban. Jambatan tersebut dinamakan Jambatan Raja Nazrin Shah.

Siapnya jalan raya merentasi tasik, bererti jalan asal yang sejak beberapa dekad menjadi laluan utama, tidak lagi berperanan sedemikian, kecuali bagi penduduk setempat atau mereka yang masih berminat melalui jalan lama.

Justeru walaupun kawasan kampung kini sudah terletak di luar laluan utama, ia masih dikunjungi pengunjung yang ingin menikmati suasana kampung dan keindahannya. Pengguna akan mengambil susur keluar ke Tasik Raban mengunjungi tempat yang penuh nostalgia, indah dan tenang. 

Pengunjung berpeluang untuk berehat dan menjamu selera, sama ada minum pagi, makan tengah hari, minum  petang atau makan malam.

Antara menu pagi popular ialah roti canai di kedai Roti Canai Tasik Raban yang memang enak. Atau boleh memilih pelbagai kuih muih serta sarapan lain seperti nasi lemak, mi atau laksam.

Untuk makan tengah hari, kedai-kedai menyediakan pelbagai masakan lauk pauk memenuhi selera pengunjung. Pilih saja lauk ayam, ikan, daging dan sayur-sayuran yang berkenan di hati.

Jika mahu tinggal lebih lama di Tasik Raban, usah bimbang dengan tempat menginap. Resort Tasik Raban sedia menunggu.

Resort ini yang menyediakan penginapan bilik dan dorm, terletak di sekeliling tasik dengan dipayungi pokok-pokok yang hijau menyegarkan. 

Gambar: Aerial Sky Studio

No comments:

Post a Comment