Saturday 28 July 2018

Hayati kemerdekaan negara dengan jati diri

Kamus Dewan mendefinisikan merdeka sebagai bebas (daripada penjajahan, kurungan, naungan), lepas (daripada tebusan, tuntutan), berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain. Erti kemerdekaan pula perihal kebebasan. 

Dalam konteks negara, kemerdekaan adalah bebas daripada kuasa penjajahan. Negara yang merdeka diperintah dan ditadbir sendiri oleh rakyat negara berkenaan. Kemerdekaan adalah harta paling mahal bagi sebuah negara dan rakyatnya. 

Sesuai dengan kalimah merdeka, skop pengertiannya harus dilihat ke arah positif. Rakyat harus menghargai kemerdekaan dengan melakukan perkara mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri, keluarga, negara dan agama. Perbuatan yang mendatang keburukan dan kerugian pula mesti dijauhkan. 

Negara merdeka diperakui kedaulatannya berdasarkan kepada hak memerintah dan bernegara. Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memberi hak yang sama kepada semua negara merdeka tanpa mengira kedudukan geografi, kekayaan, kekuatan dan perihal penduduknya. 

Rakyat yang merdeka berhak melakukan apa sahaja yang ingin dilakukan. Namun, dalam konsep kebebasan itu masih terdapat batasan tindakan yang mana tindakan itu sesuatu yang tidak mendatangkan keburukan kepada diri sendiri, individu dan pihak lain.   

Sebenarnya, kemerdekaan meliputi soal kenegaraan dan individu. Negara yang merdeka, tetapi rakyatnya terbelenggu dengan pelbagai masalah, dikuasai pemikiran dan cara hidup, sebenarnya masih belum merdeka. Begitu juga, jika rakyat bebas melakukan apa untuk dirinya, tetapi negara masih dijajah, maka tidak bererti sepenuhnya.

Malaysia telah menggunakan sepenuhnya nikmat kemerdekaan untuk mencapai kecemerlangan dan kekuatan. Malaysia melonjak dengan cepat membebaskan cengkaman kuasa asing. Kemerdekaan negara telah mengubah banyak cara hidup masyarakat dalam merialesasikan erti kemerdekaan sebenar. 

Malangnya, sebahagian daripada kita masih tidak berubah. Kemerdekaan hanya pada status negara, tetapi tidak pada diri sendiri. Perkara ini yang perlu diberi perhatian sekarang bagi mengelak negara kita kembali dijajah.

Pengorbanan dan semangat perjuangan yang dilakukan oleh generasi terdahulu mesti diteruskan dalam skop mengisi kemerdekaan. Jika pejuang kemerdekaan menghalau penjajah keluar dari negara kita, generasi hari ini pula perlu berusaha bagaimana hendak menghalang penjajahan baru di negara kita.

Era kolonialisme (penjajahan secara langsung) telah berakhir dan boleh dikatakan semua negara di dunia telah mencapai kemerdekaan. Namun, kuasa besar mempunyai cara penjajahan era baru, yang tidak kurang kesan buruk dialami negara yang dijajah. 

Penjajahan itu tidak lagi dalam bentuk fizikal, tetapi penguasaan dalam beberapa aspek lain. Penjajahan bentuk baru ini lebih dikenali sebagai neo-kolonialisme yang dilakukan melalui tipu daya, perjanjian berat sebelah, tekanan ekonomi, penyaluran pengaruh fikiran, budaya, ideologi dan sebagainya. 

Sesebuah negara mungkin menjadi mangsa neo-kolonialiseme kepada banyak negara lebih yang lebih berkuasa, berpengaruh dan kaya. Penjajahan cara ini banyak berlaku disebabkan kelemahan dalam negara berpunca rakyat yang hilang jati diri dan patriotisme.

Penyaluran neo-kolonialisme dilakukan melalui media massa, hiburan, ideologi, imej perniagaan, individu yang dijadikan idola dalam sesuatu bidang dan ekonomi. Kita menjadi gusar terhadap neo-kolonialisme kerana kesannya tidak kurang hebat dengan kolonialisme. 

Banyak negara merdeka kini menjadi boneka kepada negara lain yang dilakukan hasil pengaruh neo-kolonialisme yang terlampau kuat. Pemimpin negara yang mengalami neo-kolonialisme hanya menjadi boneka atau wayang kulit yang dimainkan oleh tok dalang. 

Bahkan, negara yang mengalami neo-kolonialisme akan hilang identiti. Hal ini termasuk juga dalam soal amalan berkaitan agama. Banyak unsur yang terdapat dalam neo-kolonialisme bertentangan dengan ajaran Islam. 

Pemikiran pemisahan agama dengan urusan kehidupan harian seperti dalam soal pentadbiran negara, perniagaan, budaya dan pendidikan adalah sebahagian daripada cara neo-kolonialisme disebarkan di negara-negara Islam.     

Semakin banyak negara Islam menanggung bahaya neo-kolonialisme, terutama di kalangan negara yang miskin dan lemah. Mana-mana negara Islam yang menerima bantuan ketenteraan, ekonomi dan politik, secara tidak langsung telah membenarkan penjajahan dilakukan terhadapnya. 

Pemimpin yang ditonjolkan atau diiktiraf oleh negara penjajah secara kaedah neo-kolonialisme sudah pasti terdiri daripada orang yang sanggup menjadi boneka. Inilah yang sedang berlaku di beberapa buah negara Islam.  

Penjajah mengamalkan pecah dan perintah terhadap negara yang tunduk kepada mereka. Pemimpin negara saling berebut tampuk pemerintahan dan mengabaikan kebajikan rakyat. Apa yang dilakukan adalah untuk kepentingan peribadi dengan sokongan penjajah.

Rakyat pula saling berpecah sesama sendiri. Budaya fitnah, irihati, umpat dan dengki merebak dengan berleluasa. Keadaan ini memudahkan lagi penjajah melebarkan kuasa menindas dan memperbodohkan rakyat tempatan.

Kita perlu lebih berhati-hati dalam soal penghayatan erti kemerdekaan sebenarnya mengikut acuan Islam. Negara kita tidak terkeculi diserang hebat oleh unsur neo-kolonialisme yang menyelinap dalam segenap hal.

Kemerdekaan minda menjadi perkara terpenting dalam usaha membentuk kejayaan hidup. Selagi minda dikuasai blok pemikiran kuno, taksub, mudah percaya, fikiran singkat, mudah mengaku kalah dan tidak berdaya saing, selagi itu seseorang tidak mendapat nikmat kemerdekaan sebenar.

Apa yang nyata, generasi pasca merdeka, khususnya di peringkat usia remaja, kini berdepan dengan berbagai-bagai gejala pincang krisis moral yang mencengkam jiwa. Bukan lagi sekadar perbuatan nakal dan keras kepala, konflik moral remaja berada di tahap membimbangkan.

Kes penagihan dadah, mat rempit, arak, seks rambang, gengsterisme, merompak, membunuh dan mengedar dadah semakin menjadi barah dalam masyarakat. 

Bagi remaja, kemerdekaan adalah kebebasan bagi mereka melakukan apa sahaja yang mendatangkan kepuasan hidup. Remaja terus khayal dengan budaya hedonistik sehingga cara berfikir tidak lagi melambangkan cara hidup masyarakat timur. Lebih malang lagi, banyak remaja Islam menyimpang jauh dari ajaran Islam. 

Musnahnya kehidupan remaja, bererti hancurlah negara pada masa hadapan. Remaja bakal menjadi teras kekuatan negara pada masa depan. Kalau teras telah rosak, maka rosaklah seluruh negara. 

Setiap rakyat adalah aset kepada negara yang sekarang ini hangat diperkatakan berkaitan modal insan. Rakyat adalah modal kepada negara untuk membangun pada masa sekarang dan masa hadapan.

Berdasarkan situasi sekarang, satu usaha yang hollystik (menyeluruh) untuk membangunkan modal insan dalam aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek perlu dilakukan. 

Generasi masa kini dituntut agar meluaskan minda masing-masing dengan pelbagai ilmu dan kemahiran agar mampu muncul sebagai manusia yang releven. Penekanan hendaklah diberikan berkaitan pembangunan fizikal dan juga pembangunan modal insan.

Individu yang bermasalah bukan lagi menjadi modal kepada negara, tetapi satu ancaman dan bebanan kepada negara. Kita mesti menjadi pejuang kepada negara, bukannya pengkhianat bangsa. 

Hakikatnya, negara kita kini telah memiliki kemudahan atau kemajuan kelas pertama. Apa yang perlu diusahakan sekarang adalah agar mentaliti rakyat juga berada di tahap kelas pertama. Kita perlu menghapuskan label yang sekarang ini rakyat Malaysia masih berada di tahap mentaliti kelas ketiga.

Justeru, sebagai rakyat yang menjunjung semangat kemerdekaan, kita perlu bersedia berkorban apa sahaja demi mempertahankan kemerdekaan negara. Kita perlu bersatu padu bagi meningkatkan kemajuan umat dan negara.

No comments:

Post a Comment