Friday 18 June 2021

MENGAPA ATM PERLU DIPERKUATKAN

 
Rakyat harus bersyukur dengan keamanan dikecapi sekarang. Kehidupan seharian  dilalui dengan aman tanpa rasa takut dan curiga tentang keselamatan diri. Rakyat bebas bergerak ke mana sahaja. 

Keadaan ini tidak dapat dirasai di banyak negara lain. Pertempuran dan pembunuhan berlaku di mana-mana. Rakyat dalam ketakutan tentang nasib keselamatan diri dan keluarga yang bila-bila masa mungkin menjadi mangsa kekejaman manusia tidak berperikemanusiaan.

Malaysia diakui di antara negara paling aman dan selamat. Justeru, proses kemajuan negara dapat dilakukan dengan teratur tanpa gangguan daripada kumpulan pengganas atau ancaman negara lain. 

Keamanan ini wujud hasil kejayaan angkatan tentera melumpuhkan kekuatan pengganas komunis yang memberi tekanan hebat kepada keselamatan negara. Negara mengiystiharkan Darurat dari tahun 1948 hingga 1960 akibat angkara komunis. 

Kejayaan angkatan tentera ‘memaksa’ pengganas komunis meletak senjata merupakan kejayaan besar. Malaysia satu-satunya negara di dunia mampu menamatkan pengaruh pengganas komunis. 

Kejayaan Malaysia menamatkan peperangan pengganas komunis berlainan dengan jatuhnya fahaman komunis di beberapa negara. Di negara berkenaan, fahaman komunis  sistem pentadbiran dan menjadi pemerintah. Sebaliknya di Malaysia, komunis merupakan pengganas yang melakukan penentangan bersenjata.

Keupayaan angkatan tentera Malaysia menjadi sanjungan. Rakyat menghargai dan berterima kasih kepada jasa-jasa tentera. Anggota tentera menjadi wira, dihormati dan dikagumi pengorbanan demi mempertahankan negara. 

Bukan sedikit tentera terkorban di medan pertempuran. Tidak kurang juga  mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas menjejak dan menghapuskan pengganas komunis. 

Malah, sejarah juga mencatatkan jasa tentera mempertahankan negara ketika konfrantasi dilancarkan oleh Indonesia. Biarpun diganyang oleh satu kuasa lebih kuat dan ramai, tentera kita mampu mengekang niat busuk Presiden Sukarno. 

Sekarang negara aman damai. Tidak ada sengketa atau tindakan yang memerlukan tentera digerakkan sepenuhnya. 

Jika ada tentera terlibat dalam satu keadaan, ia sekadar satu ‘sentuhan’ kecil. Paling terbaru kes mempertahankan perairan di Sabah. Kekuatan tentera kita memang diakui berkesan menggerumkan mana-mana pihak sengaja melakukan onar di tanah berdaulat ini. 

Hakikatnya, tentera masih menjalankan tugas mempertahankan negara. Peranan tentera bukan sahaja bertempur di medan peperangan. Angkatan tentera mempunyai pelbagai kemahiran dan lojistik yang membolehkan menyumbangkan khidmat dalam apa juga bidang. 

Selain meneruskan siapsiaga dan latihan, tentera terus menyumbangkan khidmat untuk kepentingan semua. 

Tentera masih terlibat dalam gerakan mengawal keselamatan negara. Di perbatasan sempadan negara, di tengah belantara, pulau maupun lautan, tentera sentiasa siapsedia menghadapi apa juga ancaman. 

Biarpun Parti Komunis Malaya telah meletak senjata, tidak bermakna ideologi komunis hilang terus dalam pemikiran mereka. Tidak dinafikan, gerakan ini mungkin kembali aktif jika didapati pertahanan negara dalam keadaan lemah. 

Bagi memastikan bekas pengganas sentiasa takut kepada kekuatan tentera, maka perlu tentera sentiasa diperkemaskan dan mempunyai kemampuan menghadapi segala ancaman yang mungkin. 

Ia juga ditunjukkan kepada anasir-anasir luar bahawa kita mampu mempertahankan jika diganggu. Biarpun ASEAN diiystiharkan rantau bebas, aman dan berkecuali, banyak perkara boleh mengacam keselamtan negara.

Oleh itu, sebarang perkembangan tentera negara ASEAN sering menjadi perhatian jiran lain. Masing-masing negara ingin mempunyai kemampuan melebihi jirannya atau setidak-tidaknya setanding. 

Justeru, negara perlu sentiasa menyedia satu angkatan tentera kuat dan mampu mempertahankan negara. Negara tidak boleh mengambil mudah sebarang ancaman dan tidak boleh mempercayai negara jiran dalam soal keselamatan.

Untuk menyediakan tentera yang kuat tidak boleh dilakukan dalam tempoh singkat.  Latihan berterusan dan pembentukan profesionalisme tinggi amat perlu bagi membentuk angkatan tentera serba mampu bertindak dalam semua bentuk ancaman, khususnya dalam dunia melibatkan persenjatan canggih.

Latihan dilakukan oleh tentera meliputi segala aspek seperti mana dalam keadaan peperangan sebenar. Segala kekuatan fizikal dan minda ditumpukan untuk menjalani latihan agar realistik dan memberi pendedahan berguna.

No comments:

Post a Comment