Sunday, 15 March 2020

BALASAN MENGANIAYA BINATANG


Islam bukan sahaja melarang perbuatan menganiaya sesama manusia, bahkan juga terhadap binatang.

Imam Muslim memetik riwayat yang diberitahu oleh Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW melarang pembunuhan binatang dengan diikat lantas dipanah.

Manakala Imam Abu Daud pula mengambil riwayat yang dibawa oleh Ibnu Masud. Kata Ibnu Masud, “Tatkala kami bersama Rasulullah SAW dalam suatu perjalanan, lalu Baginda menjauh untuk suatu urusan. Tiba-tiba kami melihat seekor burung dengan kedua-dua anaknya. Maka kami mengambil kedua-dua anak burung itu.”

‘Seketika kemudian datanglah si ibu burung itu dengan aksi berpusing-pusing. Kejadian itu sempat dilihat Baginda SAW, lantas Baginda pun bertanya,

‘Siapakah yang mempermainkan burung dengan mengambil kedua-dua anaknya itu? Kembalikanlah anak-anak burung kepada ibunya.’

Ibnu Masud menyambung kisahnya dengan memberitahu ketika Rasulullah SAW melihat ada sarang semut yang kami bakar, maka Baginda SAW akan segera bertanya kami, ‘Siapa yang membakar sarang ini?’ Kami secara serentak menjawab, ‘Kami yang membakarnya Wahai Rasulullah.’ Apabila mendengar sahabatnya secara jujur mengaku akan perbuatan itu, lalu

Baginda memberikan nasihatnya, “Sesungguhnya tidak seorang pun yang dibolehkan menyeksa dengan api, kecuali pemilik api itu sendiri (Allah).”

Jelas kisah yang diceritakan Ibnu Mas’ud itu menunjukkan apa sahaja tindakan secara zalim dan kekerasan terhadap haiwan ditegah oleh Islam.

Baginda SAW memberikan amaran kerasnya dengan bersabda: “Sesiapa yang memisahkan antara induk haiwan dengan anaknya, maka Allah akan memisahkan antara dia dengan orang yang dicintainya pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Imam At-Tirmizi)

Sentiasalah ingatkan diri untuk jauhi daripada sikap buruk terhadap haiwan kerana haiwan juga adalah makhluk ciptaan Allah yang perlu disayangi dan diprihatinkan.

No comments:

Post a Comment