Mat Kilau tetap diburu Inggeris biarpun ke mana sahaja beliau pergi bersembunyi. Mat Kilau telah bersembunyi sehingga ke Kota Bharu, Kelantan. Ketika itu Kelantan diperintah oleh Sultan Mansur atau nama sebenarnya Long Mansur bin Long Ahmad.
Ketika di Kota Bharu, Mat Kilau telah
dijejak oleh pihak Inggeris. Pihak Inggeris berusaha untuk menangkap Mat Kilau
namun Mat Kilau bertindak melawan sehingga mengalami kecederaan menyebabkan
kematian.
Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati
tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura. The
Straits Times dan The Free Press melaporkan Datuk Bahaman telah jatuh ke tangan
pemerintahan Siam pada bulan Oktober 1895.
The Free Press pula memberitahu
bahawa "Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia
telah cedera di muka dan di kepalanya akibat cantasan pedang. Luka-luka itu
sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan
kehilangan banyak darah".
Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau
oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum
tamatlah sudah riwayat Mat Kilau. Akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada
diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat
(Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan
beberapa orang lain.
Pada tahun 1895, Sultan Kelantan (Sultan
Mansur) telah mengisytiharkan bahawa Mat Kilau telah meninggal dunia ketika
dalam tahanan, sebagai helah untuk melindungi nyawa beliau yang menjadi buruan
British.
Batang pisang digunakan untuk menjadi
pemberat kepada keranda yang ditanam dalam kubur sebagai bukti kematian
pahlawan agung ini.
Selepas pengisytiharan Sultan Mansur itu,
maka Mat Kilau telah dianggap sebagai telah mati. Mat Kilau kemudian menukar
identiti atau nama Mat Siam, Mat Din, Mat Dahan, Mat Dadu dan Mat Ibrahim.
Beliau juga terpaksa berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya
bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang.
Mat Kilau berpeluang menyambut laungan
merdeka yang tidak sempat dilakukan rakan seperjuangannya. Namun, tiada seorang
pun daripada ribuan manusia yang berkumpul ketika itu menyedari bahawa lelaki
yang berusia hampir 100 tahun itu adalah Mat Kilau.
Dalam bulan Disember 1969, Mat Kilau yang
pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin
Ibrahim, keluar daripada persembunyiannya dan memperkenalkan dirinya yang
sebenar.
Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi
tumpuan ramai, maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung
kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau, maka Mat Kilau dibawa ke
kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut.
Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat
Kilau telah pergi ke masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat.
Selepas sembahyang, Mat Kilau telah membaca Quran dan kemudiannya
mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.
Pengisytiharan ini telah menggemparkan
orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan Jawatankuasa Penyiasat Munculnya
Mat Kilau. Jawatankuasa Penyiasat Munculnya Mat Kilau) dibentuk pada 8 Januari
1970. Beberapa orang telah ditemu ramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu
adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis, 6
Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang,
Tan Sri Yahya Mohd Seth.
Pada 1970, pihak Utusan Melayu telah
menerbitkan kitab kepunyaan beliau, Kitab Mat Kilau, sebuah kitab
kompilasi doa dan amalan mistik seperti ilmu kebal dan penguat diri.
Berdasarkan buku itu, kitab ini ditulis beliau, dan diserahkan bagi jagaan
kerabat diraja Kelantan dalam persembunyiannya sebelum diserahkan kepada Utusan
Melayu bagi penerbitan kepada masyarakat awam. Orang terakhir yang diamanahkan menyimpan
kitab ini ialah Wan Alim bin Wan Hasan, murid Menteri Besar Kelantan Nik Mahmud
Nik Ismail.
Pada hari Sabtu 15 Ogos 1970, Mat Kilau telah
dilaporkan berada dalam keadaan tenat. Setelah sepuluh hari selepas pengumuman
pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, pada hari Ahad 16 Ogos kira-kira pukul
6.45 pagi, Mat Kilau meninggal dunia di rumahnya di Batu Lima, Paya Besar,
Jalan Kuantan–Gambang kerana keuzuran.
Usianya ketika itu dipercayai berusia 122
tahun namun menurut buku laporan jawatankuasa penyiasatan Mat Kilau, beliau
meninggal dunia ketika berusia 104 tahun. Beliau kemudiannya dikebumikan di Kampung
Kedondong.
No comments:
Post a Comment