Thursday 7 April 2016

ELAK CAMPUR TANGAN ASING


Islam mementingkan perpaduan dan kerjasama erat bagi menjamin kekuatan ummah.  Ummah yang kuat akan digerumi oleh musuh-musuh Islam.  Sebaliknya, keadaan ummah yang kucar kacir memberi peluang musuh untuk  mengambil kesempatan memusnahkannya dengan pelbagai cara. 

Nasib menimpa umat Islam di seluruh dunia sekarang banyak berpunca akibat perpecahan.  Kuasa umat Islam di beberapa negara menjadi tidak kuat disebabkan apa pihak yang menentang dan membuat onar.  Keadaan tersebut membuka peluang pihak asing campur tangan.  Akibatnya, kuasa umat Islam berada di tangan musuh.

Sesungguhnya, umat Islam perlu membina kekuatan sendiri.  Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum jika kaum itu sendiri tidak mahu berusaha mengubahnya.  Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu sendiri berusaha mengubahnya.” - (Surah ar-Rad, ayat 11)

Perpecahan dalam umat Islam banyak didorong oleh perebutan kuasa.  Ia bukan perkara baru, sebaliknya telah berlaku sejak kewafatan Rasulullah.  Terdapat kumpulan menentang pemimpin disebabkan sifat tamak dan gila kuasa.  Peperangan dan pembunuhan sesama Islam merupakan satu malapetaka paling malang terpaksa ditempuh oleh umat Islam.  

Sesiapa sengaja menentang pemimpin adil dan amanah terhadap tugasnya, bererti dia menetang Allah dan Rasulullah.  Islam mementingkan ketaatan kepada pemimpin kerana ia asas kepada kejayaan membentuk masyarakat harmoni, adil dan maju. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa yang taat kepadaku, bererti dia taat kepada Allah, sesiapa yang durhaka kepadaku bermakna dia durhaka kepada Allah, sesiapa taat kepada pemerintah bererti dia taat kepadaku, dan sesiapa yang durhaka kepada pemerintah bermakna dia durhaka kepadaku.” - (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasai dan Ibnu Majah).

Menjadi tanggungjawab setiap orang beriman agar mewujudkan keadaan persaudaraan tanpa sebarang perasaan curiga.  Sekiranya ada pertelingkahan berlaku, ia perlu didamaikan segera sebelum menjadi lebih renggang.  

Sesungguhnya hubungan baik dianjurkan Islam tidak setakat sesama Islam semata-mata.  Menjalin hubungan baik dan saling menghormati juga menjadi hak bagi orang bukan Islam daripada orang Islam. 

Justeru itu, haram bagi orang Islam memerangi orang bukan Islam.  Orang bukan Islam mempunyai hak yang sama untuk menikmatik kehidupan aman bersama-sama orang Islam dalam sebuah negara Islam.  Ia merupakan sebahagian daripada kaedah dakwah agar lebih ramai tertarik kepada Islam.  

Firman Allah dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu.  Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”

Secara jelasnya membuktikan Islam agama perdamainan.  Sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan sengkata tidak kira di antara sesama Islam dan bukan Islam, wajib ditentang.  Islam tidak mengajar umatnya melakukan tindakan melampau memperjuangan agama kerana ia mudah mencetuskan perbalahan. 

Islam mengajar toleransi dan lemah lembut dalam menghadapi kancah hidup.  Kekerasan dan peperangan hanya digunakan apabila keselamatan terancam. 

No comments:

Post a Comment